Bekalan telur ayam di Sarawak cukup

Bekalan telur ayam di Sarawak cukup

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin bekalan telur akan kembali stabil dan meliputi di semua lokaliti di Sarawak apabila ladang-ladang pengeluar telur ayam dan syarikat-syarikat penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak Datuk Stanley Tan berkata KPDNHEP Negeri Sarawak mengambil maklum isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku di seluruh negeri ini ketika ini seperti dilaporkan media.

Beliau berkata KPDNHEP Sarawak telah mengambil tindakan awal yang perlu bagi mengenal pasti punca yang berlaku dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu kekurangan bekalan telur ayam ini.

Katanya, berdasarkan data pengeluaran telur ayam daripada 10 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negeri Sarawak, dianggarkan sebanyak 1,540,000 biji telur ayam sehari telah dikeluarkan pada awal bulan Februari tahun ini.

“Namun telah berlaku peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang menyumbang kepada gangguan ke atas bekalan telur ayam masakini,” katanya.

Di samping itu, katanya terdapat ladang-ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat-syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti perayaan tersebut  malah ada yang cuti lebih lama, hingga melebihi dua hari.

“Semua ini menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa kawasan di negeri Sarawak,” tambah beliau.

Sementara itu, Stanley berkata, seramai 173 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sarawak dan 101 pegawai pemantau harga sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari ke atas kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran, iaitu di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Ujarnya, di samping ayam dan telur, barang-barang lain yang turut dipantau termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur ayam dan bawang.

“Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi di semua lokaliti di Sarawak bila ladang-ladang pengeluar telur ayam dan syarikat-syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi.

“KPDNHEP Negeri Sarawak telah mengarahkan supaya semua peruncit untuk memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula (re-order limit),” jelas Stanley.

Kerajaan, kata beliau telah mengambil langkah intervensi dengan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum bermula 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022.

Katanya, sebanyak dua jenis barangan yang telah ditentukan harga maksimum tersenarai seperti ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C).

Beliau seterusnya menasihatkan pengguna tidak membuat pembelian panik atau lebih daripada biasa yang diperlukan kerana isu bekalan yang berlaku adalah terpencil dan akan kembali normal dan stabil selepas cuti TBC, seperti maklum balas diterima daripada pemain industri. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top