am@hmetro.com.my
Ipoh: Gangguan bekalan air yang menjejaskan 50,000 akaun pengguna membabitkan sebahagian besar kawasan di daerah Batang Padang dan sebahagian kawasan di daerah Hilir Perak sejak 6 Februari lalu dijangka berterusan sehingga 1 Mac ini.
Ia susulan notis pemakluman dikeluarkan oleh Lembaga Air Perak (LAP), hari ini yang memaklumkan lembaga pengurusan air negeri itu akan melakukan catuan air bermula tengah malam tadi sehingga 1 Mac ini.
Berdasarkan notis itu, daerah Batang Padang iaitu membabitkan keseluruhan kawasan Tapah dan Bidor serta sekitarnya, tarikh yang tidak menerima bekalan air semasa catuan itu adalah 14 dan 15, 18 dan 19, 22 dan 23, serta 26 dan 27 Februari.
Manakala bagi daerah Hilir Perak membabitkan sekitar 14 kawasan, tarikh yang tidak menerima bekalan air semasa catuan adalah 16 dan 17, 20 dan 21, 24 dan 25, serta 28 Februari dan 1 Mac.
Kawasan catuan di daerah Hilir Perak antaranya meliputi Kampung Padang Tembak, Kampung Selabak Dalam, Kampung Banjar, Batak Rabit, Pekan Baru, Kampung Bahagia, Taman Melor, Mukim Sungai Manik, Mukim Labu Kubong, dan beberapa lagi kawasan.
Menurut notis itu, catuan dibuat memandangkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh, Tapah hanya beroperasi dengan kadaran 70 peratus daripada pengeluaran asal.
© New Straits Times Press (M) Bhd