Kuala Lumpur: Pelakon, Beego, 45, mendakwa tidak tahu dia perlu hadir ke mahkamah untuk sebutan kes pertama perceraian dengan isterinya yang juga pelakon, Linda Hashim, 41, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah dalam hantaran di Instagram berkata, dia juga tidak menerima sebarang notis daripada peguam Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin.
“Terkejut pagi ini mendengar kenyataan isteri yang saya dimaklum tentang kes mahkamah. Tidak ada pemberitahuan dan notis dari pihak guaman Nurul. Ada mana-mana peguam yang boleh mewakili saya? Allahuakbar,” tulisnya di Instagram.
Terdahulu, Linda hadir berseorangan ke mahkamah untuk mengikuti sebutan kes pertama perceraiannya itu.
Linda ketika ditemui wartawan berkata, dia kurang pasti mengenainya ketidakhadiran Beego, namun percaya Beego tahu berkenaan sebutan pertama kes perceraian mereka.
Dia turut memaklumkan notis sudah dihantar kepada Beego.
Linda memfailkan perceraian di mahkamah berkenaan pada awal Januari lalu.
Pasangan ini pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 dan hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Bagaimanapun, mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali memberi suaminya peluang.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.
© New Straits Times Press (M) Bhd