Bedah siasat prestasi di Paris 2024 pada 14 November ini

Bedah siasat prestasi di Paris 2024 pada 14 November ini

Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan sesi post mortem pada 14 November ini berhubung prestasi atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sesi itu akan diadakan bersama wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), jurulatih pasukan, sekretariat kontinjen, Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN.

“Sesi ini juga akan melibatkan National Sports Science University (NSSU), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi serta wakil universiti tempatan dan persatuan media.

“Hasil post mortem ini akan digunakan untuk merangka strategi bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin tahu langkah-langkah akan diambil oleh kerajaan untuk menambah baik prestasi sukan kebangsaan selepas prestasi atlet negara di Sukan Olimpik Paris, Ogos lalu.

Hannah berkata, selain menumpukan perhatian kepada sukan yang pernah layak di Olimpik, MSN akan membangunkan sukan baharu seperti papan selaju, sukan memanjat dan luncur ombak (surfing).

“Sukan-sukan ini dilihat mampu menjadi penyumbang pingat kepada negara nanti. Pada masa yang sama sukan-sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan juga akan diberikan perhatian.

“Kejayaan atlet-atlet negara jiran memenangi pingat daripada sukan angkat berat, tinju, taekwondo dan gimnastik perlu dijadikan inspirasi kejayaan atlet negara.

“Acara-acara melibatkan atlet wanita juga akan diberi perhatian memandangkan peluang untuk memenangi pingat masih terbuka di Sukan Olimpik,” katanya.

Jelas Hannah, program penyediaan atlet yang dilaksanakan melalui program Road to Gold (RTG) mahupun Program Podium perlu terus diberikan sokongan.

“Pihak kementerian melalui Majlis Sukan Negara membelanja lebih kurang RM20.1 juta (RTG dan Podium bersekali) pada tahun 2024 bagi tujuan kelayakan dan persiapan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Untuk RTG sahaja sebanyak RM13.2 juta telah dibelanjakan untuk tahun ini bagi persiapan ke Sukan Olimpik Paris. Akaun RTG sedang diaudit dan saya akan laporkan semula ke Dewan Rakyat selepas selesai.

“Peruntukan ini adalah kecil berbanding peruntukan yang dikeluarkan oleh negara lain seperti India berjumlah RM235.2 juta dan Great Britain RM153 juta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top