rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti beberapa individu dipercayai ada kaitan dengan syarikat pelaburan MBI International Group (MBI) yang terbabit penipuan pelaburan ‘Ponzi Scheme’.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia hasil siasatan yang dijalankan terhadap lapan individu termasuk empat bergelar Datuk yang ditahan pada 20 Mac lalu.
“Polis menemukan bukti baharu dalam siasatan dijalankan itu yang boleh mengaitkan dengan individu dikenal pasti terbabit.
“Kita tidak menolak kemungkinan kesemua individu itu masih berada di negara ini memandangkan ada antara mereka menjalankan pelbagai perniagaan di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan empat usahawan dan peguam bergelar Datuk antara lapan individu yang ditahan kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi dengan aset bernilai RM3.17 bilion dirampas serta dibekukan.
Kejayaan itu menerusi Op Northern Star rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat notis merah daripada Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol).
Razarudin dilaporkan berkata, operasi yang dijalankan AMLA Bukit Aman pada 20 Mac lalu berjaya membekukan pelbagai aset dan hasil perolehan haram yang dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis ‘ponzi scheme’ atau dikenali sebagai Pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran.
Antaranya 638 akaun bank dan saham berjumlah RM1.16 bilion, 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion dan 10 kenderaan mewah.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion yang dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman pada 20 Mac lalu adalah fasa pertama siasatan.
Beliau berkata, ramai lagi individu yang mempunyai kaitan dengan dalang skim penipuan itu akan dikesan termasuk pembekuan dan sitaan harta dalam fasa kedua siasatan.
Untuk rekod, MBI diasaskan oleh ahli perniagaan Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat.
MBI, pengendali platform saham elektronik besar disiasat pelbagai pihak berkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.
Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Tedy Teow selepas visanya dibatalkan selepas didakwa mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan urus niaga ‘multilevel marketing’.
Polis China turut memohon penangkapan Tedy Teow dengan mengeluarkan Notis Merah melalui Interpol pada 9 November 2020.
Dia didakwa menipu hingga dua juta orang, dengan ramai warga China menjadi mangsa skim penipuannya.
Pada 20 Ogos 2024, Tedy Teow diekstradisi ke China untuk berdepan pertuduhan berkaitan penipuan.
Mahkamah Thailand perintah ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China
© New Straits Times Press (M) Bhd