Bebas tebusan: Pejuang Briged Al-Qassam sangat kreatif

Bebas tebusan: Pejuang Briged Al-Qassam sangat kreatif

– Advertisement –

SEPERTI sebelumnya, HAMAS membuat kejutan lagi. Sangat kreatif rupanya pejuang Briged Al-Qassam ini.

– Advertisement –

Semalam, 1 Februari 2025, tiga tahanan rejim Zionis di bawah kawalan Briged Al-Qassam dibebaskan. Ini kali keempat proses ini berlaku. Dua tahanan dibebaskan di Khan Yunus. Pejuang Al-Qassam memenuhi lapangan.

Yang menarik dan menjadi kejutan ialah apabila sebuah trak hitam berjenama RAM buatan Amerika muncul membawa tahanan itu. Sementara kenderaan Al-Qassam yang lain berwarna putih. Dikatakan bahawa trak hitam itu kepunyaan polis sempadan antara Gaza dan Israel yang dirampas oleh Al-Qassam ketika Taufan Al-Aqsa. Kini ia digunakan oleh Briged Al-Qassam. Jika menurut hukum syarak ia menjadi harta rampasan perang.

Seorang lagi tahanan, Keith Seigel adalah warga Amerika Syarikat dan Israel berumur 65 tahun. Beliau mengidap beberapa penyakit. Dalam sebuah klip ringkas sebelum pembebasannya, beliau mengucapkan terimakasih kepada Al-Qassam kerana menjaganya dengan baik di rumah selama 15 bulan.

Ketika beliau dibawa ke pentas di tepi laut Pelabuhan Gaza, juruacara Al-Qassam menyebut: “Inilah akhlak Islam, akhlak kita yang berdasarkan aqidah kita…” iaitu menjaga tahanan dengan baik, walaupun tua dan ada beberapa penyakit  tetapi sihat dan boleh berjalan sendiri selepas 15 bulan dalam tahanan Al-Qassam.

Sebaliknya, tahanan Palestin yang keluar daripada penjara rejim Zionis menceritakan pelbagai tindakan zalim dan kejam dilakukan kepada mereka di dalam penjara Israel. Sangat berbeza cara layanan antara pejuang Palestin dan rejim zalim Zionis.

Al-Qassam juga membuat kejutan di Pelabuhan Gaza itu apabila Haitham Al-Hawajari, ketua ‘Katibah Mukhayyam Shati’ muncul di celah-celah mereka yang bertopeng itu. Beliau disebut kononnya telah dibunuh oleh tentera Israel Disember 2023. Jurucakap rejim Zionis, Hagari dengan bangga menyebut berdasarkan kajian, penyelidikan dan laporan Shabak bahawa Abu Umar Al-Hawajari itu telah dibunuh.

Namun, selepas kemunculan beliau di Pelabuhan Gaza itu, rejim Zionis menarik balik kenyataan pada 3 Disember 2023 tersebut. Ini sangat memalukan rejim Zionis.

Unit yang membawa Keith Seigel adalah ‘wehdatuzzil’ iaitu satu unit yang penting dalam Briged Al-Qassam. Al-Qassam juga memaparkan gambar-gambar pemimpin Al-Qassam yang gugur syahid terutama Muhammad Deif dan lain-lain. Bukan sahaja pelbagai unit Al-Qassam memenuhi tepi pentas di Pelabuhan Gaza itu, bahkan beberapa senjata yang digunakan ketika Taufan Al-Aqsa juga dibawa dan dipamerkan.

Inilah kekuatan Al-Qassam yang kononnya disebut oleh Netanyahu bahawa mereka akan menghapuskan HAMAS dan Al-Qassam. Tidak lena tidurlah nampaknya si celaka ini. HARAKAHDAILY 2/2/2025

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

Scroll to Top