Bazar Ramadan halang laluan utama, rencatkan aktiviti harian penduduk

Bazar Ramadan halang laluan utama, rencatkan aktiviti harian penduduk

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk Taman Dato Senu, Sentul, di sini, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lokasi baharu tapak Bazar Ramadan yang didakwa menghalang laluan utama kawasan perumahan mereka.

Penduduk turut mendakwa ia menjejaskan rutin harian masyarakat setempat.

Rata-rata penduduk di kawasan itu mengakui berdepan dengan kesulitan akibat pemasangan khemah bazar Ramadan secara kekal sepanjang bulan puasa ini dan tindakan itu dianggap sebagai keputusan kurang bijak yang mengundang kemarahan ramai pihak.

Penduduk, Nurul Ashikin Abd Malek, 35, yang juga pemilik taska berkata, keadaan lalu-lintas semakin teruk terutama pada waktu pagi sehingga menimbulkan ketegangan antara pengguna jalan.

“Dulu tak macam ini. Sekarang sampai ada yang bergaduh nak hantar anak ke sekolah, kasihan budak-budak terpaksa berhenti jauh untuk jalan pulang ke rumah.

“Kami tak halang untuk peniaga berniaga, tapi kedudukan tapak tidak sesuai di kawasan perumahan penduduk sampaikan, lori Alam Flora nak lalu pun terhalang sebab khemah yang kekal dibuka sepanjang hari,” katanya yang ditemui Harian Metro.

Nurul Ashikin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sepatutnya berbincang terlebih dulu dengan wakil penduduk sebelum membuat keputusan menjadikan kawasan terbabit sebagai tapak bazar Ramadan.

Dia mencadangkan supaya tapak bazar itu dipindahkan ke lokasi lain seperti padang yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Baru minggu pertama Ramadan sudah banyak isu yang kami terpaksa hadapi, bayangkan kami penduduk terpaksa bersabar untuk sebulan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Vinod Marathadavar, 23, turut meluahkan rasa kecewa kerana isu terbabit tidak pernah terjadi sebelum ini walaupun kawasan itu pernah dijadikan tapak pasar malam.

Katanya, ada penduduk yang sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tiada perubahan dan kedudukan masih sama menghalang laluan utama.

“Kami nak pulang ke rumah sendiri pun jadi masalah sebab jalan ditutup, sepatutnya pihak berkuasa cari tapak yang sesuai dan tidak menyusahkan penduduk,” katanya.

Peruncit, Chong Weng Wah, 64, yang sudah berniaga di kawasan itu selama 30 tahun turut mengeluh kerana terpaksa menanggung kesan akibat perubahan ini.

“Saya sampai tidak boleh menerima bekalan roti, banyak makanan yang sudah habis tarikh luput disebabkan lori tidak boleh masuk di laluan kedai saya.

“Kami tidak salahkan peniaga sebab faham mereka cari rezeki tapi tempat ini tidak sesuai pasang khemah kekal, sepatutnya DBKL berbincang dulu kerana banyak lokasi lain yang boleh digunakan dan padang di tepi kawasan ini juga kosong, lapang dan besar, tetapi ruang itu tidak digunakan sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, keadaan semakin rumit apabila laluan yang digunakan sejak bertahun-tahun kini terhalang oleh khemah bazar yang disusun tanpa perancangan rapi.

“Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa lokasi tapak bazar boleh mengancam keselamatan jika berlaku kecemasan seperti kebakaran atau orang sakit,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Alif Abdul, 34, turut meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan bazar yang menyebabkan kesulitan kepada orang ramai.

“Apabila pagi saja jalan sesak teruk sampai nak masuk rumah sendiri pun susah, petang pula kami penduduk kena pusing jauh cari parkir sebab laluan utama penuh dengan gerai dan pelanggan bazar,” katanya.

Dia berharap DBKL mempertimbangkan memindahkan tapak bazar ke lokasi lain seperti kawasan padang yang pernah digunakan untuk jualan Rahmah sebelum ini.

“Kami tak halang peniaga cari rezeki, tapi biarlah di tempat yang tidak menyusahkan penduduk. Ruang dulu ada, kenapa sekarang naikkan khemah sampai menghalang laluan utama,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi menyelesaikan isu itu sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Sementara itu, Harian Metro masih menunggu maklum balas dan jawapan daripada pihak DBKL mengenai isu tapak bazar Ramadan Taman Dato Senu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top