Putrajaya: Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 mendapat sambutan luar biasa pengunjung.
Acara menyaksikan kehadiran lebih satu juta pengunjung sepanjang ianya berlangsung. Kejayaan ini turut dirasai oleh peniaga, dengan beberapa gerai mencatatkan jualan mencecah RM100,000.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, pihaknya turut terkejut dengan kehadiran yang penuh sesak terutamanya pada waktu malam sehingga menyebabkan waktu operasi dilanjutkan sehingga 2 pagi berbanding 12.00 malam.
“Kami pada mulanya menyasarkan jualan mencecah RM10 juta merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran memandangkan bazar terbesar di Lembah Klang ini memasuki tahun ke-13 penganjurannya dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
“Sasaran itu bagi membolehkan setiap lot niaga menjana jualan sehingga RM30,000 di mana kebanyakan peniaga berjaya mendapat kembali modal menyewa tapak reruai seawal minggu pertama Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Karnival yang berlangsung selama 33 hari sejak 28 Februari lalu berakhir pada 30 Mac lalu. Dianjurkan Perbadanan Putrajaya sempena Festival Ramadan Putrajaya dengan tema Memori Ramadan, Aspirasi Syawal. Acara yang menawarkan pelbagai aktiviti dan reruai disediakan bagi menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi warisan turun-temurun turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Selain membeli-belah, pengunjung turut menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, dan segmen baharu seperti “Pangkin Seni” dan “Serambi Santai,” yang menyediakan ruang untuk persembahan seni dan budaya.
Kemudahan seperti ruang solat, kawasan berbuka puasa berkonsepkan berkelah di padang berhadapan Perbadanan Putrajaya, dan sistem pembayaran tanpa tunai memberikan keselesaan dan memudahkan pengunjung.
Rayme menambah, antara tarikan utama Anjung Syawal tahun ini apabila buat julung kalinya, lagu tema dan video muzik Anjung Syawal bertajuk Raya Sebenarnya turut diperkenalkan, dinyanyikan oleh Rayme sendiri bersama penyampai radio Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah.
Katanya, selain itu, kolaborasi khas antara Anjung Syawal dan Yang Riang Raya turut diadakan dengan menampilkan pempengaruh popular, Pinn Yang serta selebriti yangberniaga di bazar ini, antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.
Ujarnya, turut menarik perhatian pengunjung apabila kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Amir Masdi, Ara Johari Nadeera Zaini dan Bella Astillah.
Kata Rayme, penganjur berhasrat menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi agar ia terus dihargai walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar.
Raydiates Blue dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya turut memeriahkan lagi sambutan menjelang Syawal dengan menganjurkan Majlis Pelancaran ‘Malam Tujuh Likur’ pada 21 Mac lalu di mana aktiviti budaya seperti memasang panjut dan bermain bunga api dilakukan di Laman Iftar bersama pengunjung yang hadir dalam memberikan pengalaman baru di Anjung Syawal.
“Sebagai keunikan yang tiada di bazar Aidilfitri yang lain, kami berkolaborasi bersama Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPUTra) bagi menyediakan perkhidmatan ubah suai (alteration) pakaian kepada pengunjung Anjung Syawal di mana mendapat sambutan menggalakkan, selain menyediakan khemah berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin membeli belah bersama keluarga,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd