Bayi dua bulan maut, kereta dipandu bapa rempuh lori

Bayi dua bulan maut, kereta dipandu bapa rempuh lori

JASIN: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di Batu Gajah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor pada pukul 5 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandu bapa mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan belakang sebuah lori dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau menghala ke Batu Gajah.

“Ketika kejadian, lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun sedang berada di lorong kanan dan cuba memasuki lorong pusingan U menghala ke lampu isyarat semula sebelum dilanggar oleh kereta berkenaan.

“Turut cedera dalam kejadian itu ialah isteri pemandu kereta yang mengalami luka di kepala. Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan lori tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Scroll to Top