Bayi 20 bulan mati kelaparan, ibu sibuk berpesta sambut hari jadi

Bayi 20 bulan mati kelaparan, ibu sibuk berpesta sambut hari jadi

LOMDON – Seorang bayi perempuan berusia 20 bulan meninggal dunia akibat kelaparan selepas ditinggalkan ibunya yang sibuk menyambut ulang tahun ke-18 selama enam hari.

Menurut laporan Mirror UK, kejadian menyayat hati itu berlaku di Brighton, England, apabila Verphy Kudi meninggalkan anaknya, Asiah Kudi, seorang diri di rumah flat mereka pada 5 Disember 2019.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Kudi keluar dari kompleks perumahan dengan membawa sebuah beg hitam, memakai baju-T hitam dan seluar jeans biru sebelum menuju ke London untuk meraikan hari jadinya bersama teman lelaki.

Pada 8 Disember, dua hari selepas meninggalkan Asiah, gambarnya sedang berpesta di sebuah konsert di Elephant and Castle, London tular di media sosial.

Pada malam berikutnya, dia menghadiri majlis hari jadi di Coventry sebelum kembali ke London keesokan harinya.

Kudi akhirnya pulang ke Brighton pada 11 Disember dan menemui anaknya sudah tidak bernyawa di tempat tidur. Bagaimanapun, dia menunggu tiga jam sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

“Tolong, bayi saya tidak bangun,” katanya kepada operator kecemasan.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi segera membawa Asiah ke Royal Alexandra Children’s Hospital, namun dia disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kombinasi kelaparan, dehidrasi dan selesema.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati ini bukan kali pertama Kudi meninggalkan Asiah sendirian. Beberapa kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini, termasuk pada 23 Oktober 2019, apabila bayi malang itu ditinggalkan selama tujuh jam, serta 7 November 2019 selama 11 jam.

Malah, terdapat insiden di mana Asiah dibiarkan tanpa pengawasan selama 17 jam.

Pada awalnya, Kudi cuba menyembunyikan kesalahannya dengan memberi alasan bahawa ibunya menjaga Asiah sepanjang tempoh dia keluar berhibur. Namun, rakaman CCTV membuktikan dia telah meninggalkan anaknya seorang diri.

Lebih menyedihkan, beberapa jam selepas menemukan anaknya tidak bernyawa, Kudi sempat memuat naik ciapan di Twitter untuk menjual tiket konsert.

Hakim Laing yang mengendalikan kes itu mengecam tindakan Kudi dan menyifatkannya sebagai “tidak berperikemanusiaan.”

“Asiah adalah seorang anak kecil yang tidak berdaya dan sangat bergantung kepada anda sebagai ibunya. Sungguh menyedihkan membayangkan penderitaannya di hari-hari terakhir hidupnya, hanya kerana anda ingin meraikan hari jadi seperti seorang remaja lain,” katanya.

Pada Ogos 2021, Kudi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas mengaku menyebabkan kematian Asiah. Dia perlu menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman sebelum layak mendapat pembebasan bersyarat. – Agensi

Scroll to Top