Bayern intai kelibat Kane

Bayern intai kelibat Kane

KEKALAHAN memeritkan Bayern Munich kepada Freiburg 1-2 dalam aksi suku akhir Piala Jerman pada Rabu ‘menjentik’ pengurusan pendahulu Bundesliga itu untuk melakukan sesuatu.

Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic mengintai peluang untuk membawa masuk peledak baharu pada jendela perpindahan akan datang.

“Sudah tentu kami akan duduk dan memantau apa yang perlu kami lakukan dalam pasaran perpindahan selepas ini,” katanya.

Langkah Bayern disekat buat kali ketiga berturut-turut mendorong Salihamidzic untuk menandatangani penyerang baharu agar kelab dapat terus menyengat pada musim depan.

Antara pemain baharu yang menjadi sasaran Bayern termasuk penyerang sensasi Tottenham Hotspur yang juga kapten England, Harry Kane.

“Memasuki musim baharu dengan penampilan Eric Maxim Choupo-Moting, Mathys Tel, Thomas Muller dan Sadio Mane semata-mata belum mencukupi.

“Mungkin ada penyerang baharu, Kane atau Victor Osimhen atau Randal Kolo Muani untuk minggu mendatang,” katanya.

Pada aksi suku akhir itu, skuad kendalian Thomas Tuchel mendahului perlawanan menerusi Dayot Upamecano sebelum gol penyamaan Nicolas Hoefler.

Bagaimanapun sepakan penalti Lucas Hoeler pada minit ke-95 menyingkirkan pendahulu Bundesliga itu.