KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayangku Intan, 58, menasihatkan kepada penganjur acara agar bersikap adil dengan memberi bayaran setimpal kepada artis veteran.
Pelantun lagu Semakin Rindu Semakin Sayang itu berkata perkara itu berikutan masih ada pihak yang mengambil kesempatan dengan memberikan bayaran tidak setimpal kepada penyanyi atau pelakon lama.
“Saya merayu kepada penganjur, jangan letak kadar bayaran anda kalau mahu panggil artis ‘tua’ seperti kami buat persembahan. Berikan bayaran setimpal.
“Anda kategorikan artis macam kami ini legenda, jadi bayarlah kami dengan kadar yang sepatutnya kami terima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, beliau bersimpati dengan nasib artis lama yang ramai antara mereka diperkotak katikkan dan dipandang sebelah mata.
“Saya tersentuh apabila terbaca cerita artis lama yang diperlakukan sedemikian rupa.
“Contohnya pelakon, Wan Maimunah yang menerima bayaran terlalu rendah padahal beliau pelakon yang berbakat besar dan lama berada dalam dunia seni,” tegasnya.
Pemilik nama sebenar Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid ini juga berharap semua penggiat seni saling bantu membantu dan menyokong satu sama lain.
“Artis kita, terutamanya yang lama, ramai yang menderita. Jadi, sokonglah satu sama lain,” katanya.- UTUSAN