am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Batu Pahat menjadi daerah terbaru terjejas banjir yang melanda negeri ini susulan hujan berterusan sejak kelmarin.
Seramai 97 mangsa banjir daripada 26 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pertama diaktifkan di daerah itu, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, dengan penambahan daerah terjejas itu, menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 8 malam mencecah 12,686 orang terdiri daripada 3,709 keluarga.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, jumlah itu meningkat berbanding 11,776 orang daripada 3,544 keluarga pada jam 4 petang.
“Setakat ini, enam daerah terjejas dengan banjir iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat dengan 100 PPS masih beroperasi di semua enam daerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Johor Bahru terus menunjukkan peningkatan mangsa banjir iaitu daripada 4,384 orang (1,407 keluarga) menjadi 5,047 orang (1,505 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat malam ini.
Katanya, ia diikuti dengan Kluang yang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir daripada 2,669 orang (774 keluarga) kepada 2,736 orang (788 keluarga) kini ditempatkan di 27 PPS di daerah itu.
“Pontian dan Kulai juga terus mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat yang mana Pontian meningkat kepada 1,873 orang (512 keluarga) di 22 PPS, manakala Kulai, mangsa banjir meningkat kepada 1,276 orang (394 keluarga) di lapan PPS,” katanya.
Azmi berkata, hanya Kota Tinggi yang menunjukkan penurunan daripada 1,671 orang (485 keluarga) pada petang tadi kepada 1,657 orang (484 keluarga) yang masih di 15 PPS aktif.
Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Setakat jam 8 malam tadi, hanya Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan cerah, manakala lapan daerah yang lain dilaporkan mendung.
© New Straits Times Press (M) Bhd