Keharmonian dalam institusi kekeluargaan ialah asas pembinaan masyarakat sejahtera. Hubungan kekeluargaan dipelihara dengan adab dan batasan ditetapkan oleh Islam. Ia bertujuan melindungi kehormatan dan kesucian keluarga daripada kebejatan moral, termasuk fenomena kecurangan yang semakin membimbangkan seperti hubungan terlarang sesama ahli keluarga terutama ipar duai.
#Konsep mahram dan bukan mahram dalam Islam
Islam menjelaskan dengan tegas konsep mahram dan bukan mahram. Mahram termasuk ibu, bapa, adik beradik kandung, anak kandung dan sebagainya.
Ia seperti dinyatakan dalam Surah An-Nisa’, ayat 23: “Diharamkan kepada kamu (mengahwini) ibu kamu, anak perempuan kamu, saudara saudara perempuan kamu, saudara perempuan bapa kamu, saudara perempuan ibu kamu, anak perempuan saudara kamu yang lelaki, anak perempuan saudara kamu yang perempuan….”
Sebaliknya, adik-beradik ipar atau ipar duai termasuk dalam kategori bukan mahram. Maka, batasan pergaulan dengan mereka mesti dipatuhi bagi mengelakkan fitnah dan perkara dilarang syarak. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu masuk ke tempat wanita (bukan mahram).” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan ipar?” Rasulullah SAW menjawab, “Ipar itu adalah maut” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengingatkan bahawa pergaulan tanpa batas dengan ipar duai boleh membawa kepada kemudaratan besar kepada keharmonian keluarga.
#Adat vs hukum
Dalam masyarakat Melayu, hubungan rapat antara ipar duai dianggap seperti adik beradik, seperti bergurau senda atau tinggal serumah ketika kenduri kendara. Namun, adat ini perlu dibatasi jika ia bertentangan dengan syariat Islam.
Islam tidak melarang bermesra dengan ipar duai, tetapi harus dilakukan dalam lingkungan adab Islam. Contohnya, wanita perlu menjaga aurat dan lelaki menjaga pandangan, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, supaya mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nur, 24:30)
#Cabaran dan fenomena semasa
Hari ini, isu kecurangan dalam kalangan ipar duai dan ahli keluarga bukan mahram semakin meruncing. Ia berpunca sikap sambil lewa terhadap adab pergaulan, budaya hiburan yang melampaui batas serta pengaruh media sosial yang mempermudahkan komunikasi tanpa sekatan. Banyak laporan media melaporkan beberapa kes perceraian disebabkan oleh hubungan sulit antara suami atau isteri dengan adik beradik ipar.
Fenomena ini bukan sahaja meruntuhkan rumah tangga, tetapi turut mencalar maruah dan nama baik keluarga besar. Sebagai langkah pencegahan, penerapan nilai Islam sejak kecil akan membantu membina kefahaman berkaitan konsep halal dan haram dalam pergaulan.
#Media sosial, platform tanpa batasan
Media sosial membolehkan individu berkongsi kehidupan peribadi, berkomunikasi secara terbuka, dan menjalin hubungan dengan orang lain tanpa had. Dalam konteks keluarga, sikap yang terlalu terbuka ini boleh membawa kepada:
1. Hubungan yang tidak wajar dengan bukan mahram
Komunikasi tanpa batasan antara bukan mahram, seperti ipar duai, rakan sekerja atau kenalan, melalui media sosial sering menjadi punca kepada kecurangan emosi dan fizikal. Rasulullah SAW bersabda: “Hati-hati kamu daripada masuk ke tempat wanita (bukan mahram).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Cemburu dan salah faham
Gaya hidup yang dipaparkan boleh menimbulkan rasa cemburu atau ketidakpuasan dalam rumah tangga, apabila pasangan membandingkan diri dengan kehidupan orang lain. Allah SWT mengingatkan kita untuk tidak mengikuti langkah syaitan yang mencetuskan permusuhan dan hasad dengki: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang sebenar).” (Surah Fatir, 35:6)
3. Mengabaikan komunikasi keluarga
Ketagihan terhadap media sosial boleh menyebabkan seseorang mengabaikan tanggungjawab dan komunikasi bersama keluarga. Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawab terhadap orang yang menjadi tanggungannya.” (Riwayat Abu Dawud)
Batasan dan etika Islam
Islam tidak melarang penggunaan media sosial, tetapi menggariskan panduan yang perlu diikuti untuk mengelakkan kesan buruk terhadap keharmonian keluarga dan masyarakat:
1. Menjaga pandangan dan aurat
Pengguna media sosial harus berhati-hati dalam berkongsi gambar atau video, terutama yang melibatkan aurat. Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, supaya mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka.” (Surah An-Nur, 24:30)
2. Elakkan perbualan yang tidak wajar
Komunikasi dengan bukan mahram, terutama melalui mesej peribadi, haruslah terbatas kepada perkara penting dan tidak melibatkan perbualan yang boleh menimbulkan fitnah. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan melainkan syaitan adalah yang ketiganya.” (Riwayat al-Tirmizi)
3. Teguran kepada pasangan dan keluarga
Pasangan suami isteri perlu saling menasihati dan mengingatkan antara satu sama lain berkaitan adab menggunakan media sosial. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah, 5:2)
Menjaga Batasan Kekeluargaan amat penting dititik beratkan. Antara yang boleh diambil berat ialah:
1. Pendidikan agama sebagai asas
Setiap ahli keluarga perlu dididik tentang batasan syariat, termasuk konsep mahram dan bukan mahram. Peranan ibu bapa amat penting dalam memberi contoh yang baik kepada anak.
2. Mengutamakan adab pergaulan
Dalam setiap majlis keluarga, adab seperti menjaga pandangan, berpakaian sopan, dan mengelakkan sentuhan fizikal antara bukan mahram perlu ditegaskan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya lebih baik bagi seseorang ditusuk dengan jarum besi di kepala daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Riwayat al-Tabarani)
3. Elakkan keadaan berdua-duaan
Rasulullah SAW mengingatkan: “Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan” – (Riwayat al-Tirmizi). Keadaan berdua-duaan antara ipar duai boleh membuka pintu kepada godaan dan fitnah, dan ini harus dielakkan sama sekali.
4. Mengukuhkan tali kekeluargaan yang halal
Fokuskan kepada hubungan yang diizinkan oleh syarak, seperti mempererat kasih sayang antara suami isteri, anak dan ibu bapa. Hubungan yang harmoni ini mampu mencegah perselisihan dan godaan dari luar.
Tuntasnya, batasan hubungan kekeluargaan dalam Islam bukanlah untuk menyusahkan manusia tetapi untuk melindungi kehormatan dan keharmonian keluarga. Fenomena kecurangan dan pergaulan bebas antara ipar duai yang melanda masyarakat hari ini perlu ditangani dengan tegas berlandaskan ajaran al-Quran dan sunnah. Sebagai Muslim, kita bertanggungjawab memelihara kesucian keluarga dan keturunan, bukan sahaja demi keharmonian duniawi, tetapi juga demi mendapat keredaan Allah SWT di akhirat kelak.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
© New Straits Times Press (M) Bhd