Batalion 9 PGA rampas kayu balak, kayu diproses secara haram

Batalion 9 PGA rampas kayu balak, kayu diproses secara haram

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas kayu balak dan kayu yang diproses secara haram selain menyita kilang dan mesin dengan rampasan dianggarkan bernilai RM10.85 juta.

Kayu balak dan kayu itu dirampas ketika pemeriksaan dalam Op Bersepadu Khazanah di sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menyalahgunakan lesen dari Jabatan Perhutanan dengan mendapatkan bekalan kayu tanpa permit dan tidak bercukai di sekitar daerah Besut.

“Sebanyak 9,000 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesis serta hampir 10,000 keping kayu yang sudah diproses serta beberapa lagi mesin jentera memproses kayu ditemui dalam kilang berkenaan.

“Pemilik kilang dan lima lagi pekerja tempatan dipercayai menjual kayu berkenaan ke pasaran tempatan dengan anggaran nilai rampasan termasuk sitaan kilang mencecah RM10.85 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan suspek serta barang diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Terengganu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan memproses kayu secara haram di sempadan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top