Bastianini catat masa terpantas di Sepang

Bastianini catat masa terpantas di Sepang

Aksi Bastianini, ketika ujian pramusim MotoGP 2024 di Sepang pada Rabu.

PELUMBA MotoGP dari Itali, Enea Bastianini yang lebih dikenali The Beast mencatat masa terbaik selepas mengatasi rekod sepusingan terpantas musim lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Rabu.

Pelumba berusia 26 tahun yang mewakili Ducati Lenovo Team, yang meraih tempat ke-15 dalam kejuaraan dunia musim lalu mencatatkan masa satu minit 57.134 saat (s) pada hari kedua sesi ujian rasmi pramusim.

Pada sesi pagi, Jorge Martin dari Prima Pramac Racing mencipta rekod tidak rasmi baharu 1:57.273s, mengatasi rekod sepusingan terpantas milik juara dunia MotoGP 2023 Francesco Bagnaia dengan 1:57.491s.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder turut cemerlang apabila menamatkan sesi ujian itu di tempat ketiga terpantas dengan catatan 1:57.327s manakala Aleix Espargaro (Aprilia) dan Bagnaia (Ducati) tempat keempat (1:57.446s) dan kelima terpantas (1:57.469s).