Damsyik: Presiden Syria yang digulingkan, Bashar al-Assad kembali bersuara pada Isnin dengan mengatakan bahawa beliau hanya meninggalkan negara selepas kejatuhan Damsyik, malah mengecam pemimpin baharu negara itu sebagai “pengganas”.
Bashar meninggalkan negara di mana 70 peratus penduduk memerlukan bantuan, menurut ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tom Fletcher, yang di Damsyik berkata, beliau mahukan aliran bantuan besar-besaran ke Syria.
Bashar melarikan diri ke Rusia lebih seminggu lalu, ketika tenteranya meninggalkan kereta kebal dan peralatan lain dalam menghadapi serangan kilat yang diterajui oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang tiba di ibu negara Syria itu, dalam masa 11 hari.
Kejatuhan pemerintahan Bashar mengejutkan dunia dan diraikan di Syria, selepas tindakan kerasnya terhadap protes demokrasi pada 2011 membawa kepada salah satu perang paling maut abad ini.
HTS pernah mempunyai kaitan dengan cabang Al-Qaeda di Syria sebelum memutuskan hubungan itu, dan dianggap sebagai organisasi pengganas oleh beberapa negara Barat.
“Pemergian saya dari Syria tidak dirancang dan tidak berlaku pada jam-jam terakhir pertempuran,” kata Bashar dalam satu kenyataan di saluran Telegram.
Lima bekas pegawai memberitahu AFP bahawa Bashar sudah berada di luar negara beberapa jam sebelum pemberontak merampas Damsyik.
Rusia dan Iran menyokong Bashar semasa perang saudara di negara itu.
“Moscow meminta… pemindahan segera (Bashar) ke Rusia pada petang Ahad 8 Disember selepas berpindah pada hari itu ke Latakia, di mana Rusia mengendalikan pangkalan tentera laut, ” kata kenyataan yang dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris.
Tindakan Bashar melarikan diri dari Syria berlaku selepas lima dekad pemerintahan oleh sekutunya bagi mengendalikan rangkaian penjara kompleks untuk menahan sesiapa pun yang disyaki mungkin berbeza pendapat.
Ketika HTS dan sekutunya mara ke Damsyik, mereka membebaskan tahanan di penjara yang dikurung sama ada beberapa hari, bulan, tahun dan bahkan dekad di bawah sistem pemerintahan Bashar.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, lebih 100,000 orang mati di penjara dan pusat tahanan di negara itu, sejak 2011.
Perang yang dicetuskan oleh tindakan keras Bashar terhadap pemberontakan, membunuh lebih 500,000 orang dan memaksa lebih separuh penduduk Syria meninggalkan rumah mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd