Pempengaruh dan juga usahawan terkenal, Khairul Aming memberi penjelasan susulan ada yang bertanya tentang status halal produk makanan yang dijual sebelum memperolehi sijil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Khairul Aming, ketiadaan sijil halal sebelum ini bukan bermakna makanan tersebut tidak halal memandangkan ia masih dalam proses permohonan.
Khairul Aming jelaskan prosedur yang perlu dipatuhi
Ujarnya, setiap permohonan mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi memandangkan dia membuka kilang produk makanan tersebut bermula dari kosong.
Jelas Khairul Aming lagi, proses tersebut memang mengambil masa sedikit lama memandangkan pihak mereka perlu mematuhi prosedur yang dinyatakan.
“Kita bina kilang daripada kosong, memang ambil masa nak siapkan production line sepenuhnya.
“First kita dapatkan sijil MeSTI KKM, lepas tu kita mohon halal, and selepas ni kita apply sijil lain yang seterusnya. Step by step,” tulisnya.
Artikel lain: Hampir lima tahun berniaga, Khairul Aming syukur dua produk disahkan halal
Khairul Aming mohon sijil halal demi naik tarafkan kilang
Tambah usahawan itu, produk keluaran mereka sudah tentu halal kerana dia sendiri makan produk yang dihasilkan.
Jadi, permohonan untuk mendapat sijil JAKIM itu bertujuan untuk menaik taraf kilang dan memberi keyakinan kepada semua.
“Sijil halal ni kita mohon sebab nak naikkan taraf kilang dan nak bagi keyakinan yang kilang kita, supplier kita, dan proses masakan kita bukan sahaja bersih dan selamat, tetapi juga disahkan halal semuanya,” katanya.
Penjelasan yang dibuat oleh pemilik nama sebenar, Khairul Amin bin Kamarulzaman, 32 itu merupakan rentetan daripada sijil halal dari JAKIM yang baru sahaja diterima baru-baru ini selepas beberapa tahun mengusahakan produk makanan sambal dan dendeng daging yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia.
Dia yang optimis dengan perniagaan yang dibangunkan mempunyai impian mahu membawa produk makanan dari kilangnya ke pasaran yang lebih besar menjadikan sijil halal yang baru diterima sebagai satu langkah permulaan misi tersebut.
Sumber: Instagram Khairul Aming