Barcelona catat kekalahan pertama

Barcelona catat kekalahan pertama

Monaco: Barcelona memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kekecewaan apabila tewas 1-2 kepada AS Monaco selepas mengalami tamparan awal apabila pertahanan Eric Garcia dibuang padang.

Barcelona tidak memulakan perlawanan dengan baik di Stadium Stade Louis II apabila Garcia dilayangkan kad merah 11 minit selepas sepak mula.

Garcia melakukan kekasaran terhadap Takumi Minamino yang berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol selepas hantaran kurang tepat dari penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

“Kami tidak memahami situasi satu sama lain pada masa itu, saya berasa sedih untuk Eric.

“Kami bermain 80 minit dengan kurang seorang pemain. Ini adalah bola sepak. Kekalahan ini menyakitkan kerana dengan 10 pemain di padang kami memberikan segalanya dan berusaha untuk mendapatkan satu mata,” kata Ter Stegen.

Pasukan tuan rumah mengambil peluang untuk mendahului lima minit kemudian apabila Maghnes Akliouche menjaringkan gol sebelum Lamine Yamal dari Barcelona menyamakan kedudukan minit ke-28 dengan penyudah dari tepi kawasan penalti.

Ia adalah gol Liga Juara-Juara pertama untuk Yamal yang menjadi penjaring termuda kedua (17 tahun, 68 hari) dalam pertandingan itu selepas rakan sepasukan Ansu Fati pada 2019 (17 tahun, 40 hari).

Monaco terus mengasak dan meledak sekali lagi minit ke-71 apabila pemain gantian George Ilenikhena melepaskan sepakan ke gawang Ter Stegen untuk memastikan kemenangan pada penampilan pertama mereka selepas lima tahun di pertandingan kelab elit Eropah.

“Perlawanan berubah sepenuhnya (dengan kad merah itu).

“Kami sentiasa mencuba, kami bertahan dengan penuh semangat. Kami melakukan beberapa kesilapan, tetapi kami berusaha untuk menjaringkan gol. Kami mempunyai beberapa peluang, tetapi mereka layak untuk menang.”

“Sekarang kami perlu kembali lebih kuat, pulih untuk perlawanan Ahad ini (di Villarreal dalam LaLiga). Kami perlu memberikan yang terbaik dan berjuang untuk pasukan,” kata pengurus Barcelona, Hansi Flick.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top