![‘Barangkali mereka yang fobia’ – Irfan Bakti ‘Barangkali mereka yang fobia’ – Irfan Bakti](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/01/24/2981448.jpg)
Irfan Bakti FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
KETUA Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menepis pandangan sinis pihak-pihak tertentu yang meragui Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) dan mendakwa pasukan itu tidak mampu beraksi baik dalam arena sukan bola sepak.
Irfan yang dilantik oleh pihak pengurusan KRW untuk mengendalikan pasukan tersebut turut menegaskan beliau tidak akan bersama dengan Kelantan jika tidak berkeyakinan untuk membawa pasukan terbabit kembali ke zaman kegemilangan.
“Bagi saya pandangan-pandangan itu barangkali dari mereka yang fobia.
“Saya tak pernah melatih pasukan Kelantan dan kalau tak yakin, saya tak balik ke sini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warriors – The Next Hero di Padang Sintetik, di sini, pada Jumaat.
![Peserta yang menyertai pemilihan pemain KRW FC. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/01/24/2981447.jpg)
Peserta yang menyertai pemilihan pemain KRW FC. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Sebaik penubuhan KRW FC pada Disember tahun lalu, pelbagai pandangan prejudis berlegar terutama di media sosial antaranya pasukan itu tidak akan mampu beraksi ke liga yang lebih tinggi dan didakwa hanya setakat menyertai Liga A1 Semi-Pro sahaja.
Irfan Bakti bagaimanapun menghormati hak individu untuk memberikan pandangan masing-masing dan tetap fokus dalam membuat pemilihan pemain terbaik bagi membarisi pasukan kendaliannya.
“Ketika ini, saya mencari pemain berkualiti, mereka akan dinilai dari segi bakat dan kesungguhan selain mampu bermain secara berpasukan.
“Pemain perlu bagus dari segi fizikal, ‘cerdik’ dan tidak ‘kedekut’ bola ketika beraksi,” katanya.
Irfan Bakti juga mengingatkan peserta yang menyertai pemilihan untuk bermain bersama KRW FC dalam tempoh sebulan ini supaya memanfaatkan peluang dengan menonjolkan bakat masing-masing.
“Jangan malu-malu, tunjukkan kemahiran yang ada.
“Saya akan pilih 24 hingga 26 pemain untuk KRW FC yang bukan sahaja boleh menjaringkan gol, tetapi juga bukan ‘penumpang’ dalam pasukan,” kata beliau.