Bapa tembak mati anak lelaki selepas bantah kahwin lagi

Bapa tembak mati anak lelaki selepas bantah kahwin lagi
Bapa tembak mati anak lelaki selepas bantah kahwin lagi

Pegawai polis memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan. Foto Agensi

RAJKOT – Seorang lelaki warga emas bertindak kejam dengan menembak mati anaknya sendiri selepas mangsa membantah keputusannya untuk berkahwin kali kedua dalam kejadian di Gujarat, India, pada Ahad.

Menurut laporan NDTV, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi apabila Pratap Boricha, 52, bertengkar dengan bapanya, Rambhai atau lebih dikenali sebagai Ramkubhai Boricha, 76, berhubung keputusan lelaki itu untuk berkahwin lagi.

Dalam keadaan marah, Rambhai melepaskan dua das tembakan ke arah anaknya sehingga mangsa maut di tempat kejadian.

Lebih mengejutkan, suspek kemudian hanya duduk di atas kerusi berhampiran mayat anaknya tanpa menunjukkan sebarang tanda penyesalan.

Isteri mangsa, Jaya, segera membuat laporan polis di Balai Polis Jasdan.

Susulan laporan itu, pihak polis bertindak menahan suspek pada hari yang sama dan Rambhai kemudiannya dihadapkan ke mahkamah sebelum diperintahkan untuk direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – Agensi

Scroll to Top