Bapa, ibu tiri bersalah bunuh Sara Sharif

Bapa, ibu tiri bersalah bunuh Sara Sharif

London: Bapa dan ibu tiri kepada kanak-kanak berketurunan Britain-Pakistan, didapati bersalah atas pembunuhannya dalam kes penderaan kanak-kanak mengerikan dan mengejutkan United Kingdom.

Urfan Sharif, 42, dan Beinash Batool, 30, disabitkan dengan pembunuhan Sara Sharif selepas kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan mati di rumahnya tahun lalu.

Sara dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang, melecur dan kesan gigitan.

Bapa saudaranya Faisal Malik, 29, juga didapati bersalah menyebabkan atau membenarkan kematiannya selepas seminggu pertimbangan juri di mahkamah jenayah Old Bailey di London.

Ketiga-tiga mereka akan dijatuhkan hukuman pada Selasa depan selepas perbicaraan selama 10 minggu.

“Penderaan kejam dan keganasan yang tidak terkata yang dilakukan ke atas Sara mengejutkan dan menggerunkan orang ramai di seluruh dunia,” kata Craig Emmerson dari polis Surrey yang mengetuai siasatan ke atas pembunuhannya.

Sara ditemukan mati di atas katilnya di Woking, barat daya London, pada 10 Ogos 2023.

Tiga ahli keluarga yang disabitkan kesalahan itu melarikan diri ke Pakistan.

Bapanya meninggalkan sekeping nota tulisan tangan yang mengatakan dia tidak berniat untuk membunuhnya, namun akui kehilangan kanak-kanak itu.

Ketiga-tiga mereka ditahan selepas pulang ke UK sebulan kemudian.

Ketika disoal balas pada perbicaraan tinggi bulan lalu, Sharif seorang pemandu teksi, mengaku membunuh anak perempuannya, tetapi menegaskan dia tidak berniat untuk mencederakannya.

Dia pada mulanya menafikan semua pertuduhan dan menyalahkan Beinash atas kematian Sara.

Sharif juga mengaku menyebabkan beberapa patah tulang dalam beberapa minggu sebelum kematian Sara, memukulnya dengan kriket ketika dia diikat dengan pita pembungkus, mencekiknya dengan tangan sehingga menyebabkan tulang hyoid leher patah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top