Banyak pintu masuk seludup senjata: Penganalisis

Banyak pintu masuk seludup senjata: Penganalisis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kedudukan Malaysia yang mempunyai banyak ‘pintu masuk’ dengan negara jiran memudahkan senjata api diseludup masuk ke negara ini.

Perkara itu diakui penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim yang berkata, ia antara menyumbang kepada peningkatan kes membabitkan senjata api di negara ini.

Beliau berkata, keadaan sempadan itu menjadi cabaran kepada pihak berkuasa untuk melumpuhkan jenayah yang kini bukan saja membabitkan penyeludupan dadah tetapi juga senjata berbahaya.

“Apabila senjata api mudah diperoleh, akan memberi kesan kepada keselamatan awam. Ketika ini kes individu yang memiliki senjata api dan melepaskan tembakan amat membimbangkan dan perlu dipandang serius.

“Ini kerana ia boleh mengancam keselamatan orang ramai terutama berlaku (kes tembak) di kawasan awam seperti pasar raya, restoran dan lapangan terbang.

“Walaupun individu itu (penembak) mempunyai sasaran tertentu tapi apabila berlaku di tempat awam sudah tentu akan turut membahayakan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Shahul berkata, pengawal keselamatan di premis awam perlu dilengkapi latihan dan pengetahuan untuk berdepan sebarang risiko serta ancaman keselamatan.

Katanya, pengawal keselamatan adalah individu penting mengatasi sebarang kejadian buruk sebelum kehadiran pihak berkuasa.

Beliau memahami kekangan dan cabaran dihadapi pihak berkuasa ketika ini yang berdepan implikasi teknologi yang memudahkan aktiviti penyeludupan itu berlaku.

Namun, beliau berpandangan pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan dan kehadiran di lokasi awam bagi menjaga ketenteraman serta mengelak kejadian sedemikian berlaku.

Kelmarin, enam das tembakan dilepaskan namun tidak mengenai pasangan suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, Johor.

Pada Sabtu lalu, seorang pekerja pembersihan cedera ditembak seorang lelaki di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor.

Sebelum itu, pihak berkuasa mencatatkan pelbagai kejayaan rampasan senjata api dengan terbaharu empat lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4 serta 801 butir peluru dirampas dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, Pulau Pinang.

Siasatan mendapati suspek warga asing memasuki negara ini secara sah dipercayai bagi menjalankan kegiatan haram berkenaan dan senjata api yang ditemukan itu dipercayai diseludup dari Thailand bagi pasaran gelap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top