Pelakon cantik, Fasha Sandha bersyukur dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap jenama yang melantiknya sebagai duta.
Banyak mendapat pinangan untuk menjadi wajah bagi jenama lain, duta kepada Alfaro ini menegaskan wang bukan sandaran utama untuk dia menerima sesebuah tawaran.
“Banyak jenama lain panggil saya, tapi saya masih setia bersama mereka. Tawaran baharu berlebihan, lebih besar berbanding yang ada tapi semuanya bukan pasal duit.
“Kita buat kerana keikhlasan hati kita. Tidak semuanya semata-mata kerana duit. Jika terikat dengan sesebuah jenama, saya akan fokus untuk berikan komitmen sepenuh hati. Selain itu, saya punya prinsip adalah apa yang saya lakukan, biarlah saya benar-benar memakainya,” katanya.
Fasha ditemui XTRA di majlis pertunjukan fesyen dan pelancaran koleksi Raya Alfaro 2025 di HGH Sentul, baru-baru ini.
Meneruskan tanggungjawab sebagai duta jenama ini, Fasha tidak sabar memperkenalkan koleksi terbaharu sempena Syawal.
“Pelbagai koleksi yang jemama ini sediakan. Saya tak sabar mahu memperkenalkan ia kepada orang ramai.
“Seperti tahun sebelum ini, saya juga tidak sabar untuk meneruskan kempen tanggungjawab sosial korporat bersama anak-anak yatim. Istimewanya jenama ini adalah anak-anak ini boleh memilih sendiri baju raya yang mereka mahukan,” kata Fasha.
Dalam koleksi Raya 2025 ini, Alfaro telah memastikan rekaannya mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
“Koleksi ini menawarkan gaya yang lebih elegan untuk untuk semua serta pilihan pakaian yang inklusif untuk pelanggan dengan saiz lebih besar.
“Setiap reka bentuk disusun dengan tema yang konsisten, memastikan gabungan warna yang serasi serta reka bentuk yang dapat memenuhi citarasa dan kehendak pelanggan yang berbeza,” kata Muhammad Irfan selaku Ketua Pegawai Operasi Alfaro yang mempunyai lapan cawangan di seluruh Malaysia, termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh.