Bantuan untuk insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan dengan MB Selangor, Petronas

Bantuan untuk insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan dengan MB Selangor, Petronas

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Semua bantuan dan usaha koordinasi yang berkaitan insiden kebakaran di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor perlu diselaraskan supaya teratur dan lebih berkesan untuk disalurkan kepada mangsa terjejas.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua bentuk bantuan dan usaha koordinasi berkaitan insiden itu diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, selain itu ia juga perlu diselaraskan dengan pihak Petronas yang diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

“Langkah ini bagi memastikan segala gerak kerja berkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh,” katanya hari ini.

Kenyataan itu berkata, Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan serta dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang dilaksanakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top