Bantuan Perkeso jadi 'nyawa' sementara dapat kerja

Bantuan Perkeso jadi 'nyawa' sementara dapat kerja

am@hmetro.com.my

Bachok: Balu nelayan bersyukur apabila menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk dijadikan ‘nyawa’ sementara mendapat pekerjaan selepas kematian suami, bulan lalu.

Suami kepada Siti Nor Zuriati Abdullah iaitu Mahmud Ali, 58, meninggal dunia akibat mati lemas pada 18 September lalu.

Menceritakan semula, Nor Zuriati, 35, berkata kebiasaannya arwah suami turun ke laut selepas Isyak dan akan pulang ke rumah di Kampung Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa pada waktu subuh.

Menurutnya, tetapi pada hari kejadian, suaminya tidak pulang ke rumah sehingga pagi, sedangkan dia terpaksa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk berjumpa pakar mata.

“Apabila pulang dari hospital, saya dapati masih tiada tanda-tanda suami balik lalu meminta abang ipar mencari suami di jeti dan sungai sekitar.

“Abang ipar kemudian memaklumkan penemuan mayat suami terapung dalam sungai,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob, di sini, hari ini.

Siti Nor Zuriati menerima faedah Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) yang layak menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) secara bulanan selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000.

Manakala, dua anak perempuannya berusia tiga dan lima tahun layak menerima syer sehingga mencapai usia 21 tahun jika berjaya melanjutkan pengajian sehingga Ijazah Sarjana Muda.

Nor Zuriati berkata, selepas kematian suami, dia menumpang di rumah ibu saudaranya Mariam Sulaiman, 67, di Kampung Aur Tanjung, di sini.

“Cuma saya bersyukur kerana orang sekeliling banyak bagi semangat dan bantu kewangan sepanjang ketiadaan suami.

“Apatah lagi suami pergi dalam keadaan mengejut dan saya memang akan cari kerja untuk tampung kehidupan dengan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Nora berkata, arwah nelayan itu mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) SPS Joran yang didaftarkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top