khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan inisiatif pemberian bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan program perpaduan di negara ini.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya berharap NGO yang menerima bantuan terbabit akan terus berganding bahu dalam meluaskan usaha capaian dan memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan.
Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 78 program perpaduan diterajui NGO melalui kerjasama kementerian dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 621,739 peserta.
“Bagi 2025, kementerian memberikan fokus kepada penganjuran program yang berteraskan kepada harmoni dalam kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa.
“Melalui penerapan dua fokus ini dalam program yang bakal dianjurkan, usaha untuk memperkasakan hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat dan pembinaan identiti nasional akan dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Aaron menyifatkan tatakelola yang baik adalah aspek kritikal bagi kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Perancangan tatakelola yang konkrit dapat menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan.
“Kesemua ini menyumbang kepada wujudnya satu pentadbiran madani, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik,” katanya.
Menurutnya, selaras dengan reformasi perkhidmatan awam dan amalan tatakelola, permohonan bantuan bagi melaksanakan program perpaduan akan diuruskan secara dalam talian.
Katanya, penambahbaikan yang dibuat melalui portal BKPP ini adalah satu manifestasi bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan.
“Dengan adanya portal ini, diharapkan proses permohonan dan kelulusan bantuan kewangan kepada NGO akan menjadi lebih efisien,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd