Bantu pengemis guna cara lebih teratur

Bantu pengemis guna cara lebih teratur

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan memberi wang secara langsung kepada pengemis tidak dapat membantu mereka keluar daripada kesusahan.

Mengakui rakyat negara ini terkenal sifat pemurah dan rasa prihatin terhadap mereka yang memerlukan, Nancy berkata, pemberian itu boleh menyebabkan masalah berkenaan berterusan.

“Saya ingin menggalakkan rakyat Malaysia supaya menyalurkan sumbangan melalui saluran yang betul, seperti NGO (badan bukan kerajaan) atau organisasi kebajikan diiktiraf.

“Dengan cara ini, bantuan dapat digunakan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Harian Metro.

Nancy turut menggesa agar rakyat negara ini membantu mereka dengan cara yang lebih teratur agar ia dapat memberi kesan jangka panjang.

“Jika ingin menderma, pilihlah institusi atau badan kebajikan yang ada pengalaman dan sistem yang baik untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Dengan usaha ini, kita bukan sahaja dapat membantu mereka tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian isu ini secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengambil langkah menyeluruh bagi menangani isu pengemis dan gelandangan di negara ini.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuklah menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bagi membantu pengemis serta menyediakan perlindungan sementara kepada mereka.

Selain itu katanya, kerajaan ada menyediakan Pusat Transit Gelandangan di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara serta menawarkan perkhidmatan seperti kaunseling, rujukan pekerjaan dan latihan kemahiran.

Menurutnya, usaha lain yang dilaksanakan adalah melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan memperkenalkan pelbagai program merangkumi latihan kemahiran, penempatan pekerjaan dan sokongan psikososial bagi membantu golongan gelandangan kembali berdikari.

“Menjalin kerjasama dengan NGO dan pihak swasta yang menyumbang kepada usaha menyediakan makanan, pakaian, perkhidmatan kesihatan, dan sokongan tambahan lain kepada golongan gelandangan. Peranan NGO dalam program intervensi komuniti turut membantu memastikan golongan ini tidak terpinggir.

“Menawarkan bantuan berterusan kepada golongan rentan dan keluarga miskin tegar melalui skim perlindungan sosial dan bantuan kewangan yang disediakan oleh JKM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top