Bantu pelajar nilai berita

Bantu pelajar nilai berita

rencana@hmetro.com.my

SERAMAI 26 pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor menganjurkan Program Dokpanic 4.0: Courage to Continue melalui inisiatif Service – Learning Malaysia-University for Society (SULAM) di Kolej Vokasional Kajang, baru-baru ini.

Program berkenaan mendedahkan pelajar kepada konsep literasi digital dan implikasinya menerusi pelbagai aktiviti dan ceramah.

Ia membabitkan 160 peserta dari kolej vokasional berkenaan iaitu pelajar semester satu dan dua.

Menurut Penasihat Program, Dr Mohd Yusof Zulkefli, program berkenaan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan remaja berkenaan isu berkaitan literasi digital dari aspek perundangan.

“Dalam era informasi, remaja terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dan literasi digital yang membantu mereka menilai kredibiliti maklumat, mengenal pasti berita palsu serta membuat keputusan berdasarkan fakta.

“Golongan remaja sering menjadi sasaran eksploitasi di dunia maya termasuk penipuan dalam talian, buli siber, dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Literasi digital membantu mereka memahami risiko ini dan melindungi diri daripada ancaman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Program, Aina Alya Sulaiman berkata, era peningkatan teknologi, penyalahgunaan media sosial perlu ditangani dan menjadi tanggungjawab mereka sebagai remaja serta pengguna media majoriti untuk menjadikan media sosial sebagai satu platform yang positif.

“Matlamat itu dapat dikecapi dengan kefahaman keselamatan di dalam talian dan implikasi undang-undang melalui literasi digital serta perlu diterapkan terutamanya dalam institusi pendidikan dan kepada bakal pemimpin masyarakat kita.

“Sebagai generasi yang terdedah kepada media dan mudah terdedah dengan buli siber, ia penting untuk seseorang individu memahami cara mengatasi buli siber,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan seperti Pantun Dua Kerat, Teka-teki Terbalik, Jenga, Ddakji, Guess the Code, The Hankman dan Steal the Bacon.

Aktiviti berkenaan bertujuan membolehkan peserta berfikiran secara kreatif, memperluaskan pengetahuan berkenaan kesihatan mental, membangunkan sifat tolak ansur dalam antara pasukan secara tidak langsung dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan meningkatkan tumpuan serta tumpuan setiap peserta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top