'Bantu kami bina rumah, kehidupan kembali' – Mangsa kebakaran di Kupang

'Bantu kami bina rumah, kehidupan kembali' – Mangsa kebakaran di Kupang

am@hmetro.com.my

Baling: Menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini, tiada apa yang diharapkan oleh mangsa kebakaran di kira-kira lapan kampung di Kupang supaya bantuan rumah terhadap mereka dapat disegerakan.

Mereka kehilangan rumah dan harta benda selain kenderaan selepas dibakar oleh seorang lelaki tempatan dalam kejadian Disember tahun lalu.

Ibrahim Ali, 59, berkata, dia tidak mampu membina rumah baharu berikutan dia dan isteri hanya berniaga kecil-kecilan iaitu menjual kuih dan kerepek dengan keuntungan tidak seberapa.

Katanya, mustahil dia dapat membina rumah baharu tanpa bantuan daripada kerajaan selepas mereka sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Kami bersyukur kerana kerajaan negeri sudi membantu, tetapi kami berharap bantuan itu dapat disegerakan.

“Sekarang kami hanya menumpang di rumah kakak bersebelahan di rumah kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanah Periuk di sini, hari ini.

Selain kehilangan rumah, Ibrahim turut kehilangan sebuah kereta dan empat motosikal dalam kejadian itu.

Meskipun lega kerana pelaku sudah dihukum, Ibrahim tetap berharap keadilan dapat ditegakkan atas segala kerugian yang ditanggung oleh keluarganya.

Sementara itu, Adnan Hassan, 40, yang kehilangan rumah dan tiga motosikal dalam kejadian itu kini memberi tumpuan untuk membina semula kehidupannya.

Adnan berkata dia dan isterinya, Nurut Atiqah Shafie, 38, sudah menerima hakikat kejadian itu dan mahu teruskan kehidupan mereka

“Suspek pun sudah dijatuhi hukuman, fokus saya sekarang adalah untuk membina semula kehidupan kami.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya bantuan pembinaan semula rumah dapat disegerakan sebelum Aidilfitri,” katanya yang turut tinggal di rumah kakaknya di kampung berkenaan.

Perasaan sama turut dikongsi seorang lagi mangsa kebakaran, Mohamad Zamri Ahmad, 45, dari Kampung Bukit Terabak.

“Apa yang penting buat saya dan isteri sekarang adalah membina semula rumah kami. Kami merayu kepada kerajaan negeri agar dapat membantu kami,” katanya yang menumpang di rumah ibu mentuanya di Kuala Pegang.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Baling atas kesalahan membakar lima motosikal milik penduduk kampung.

Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, yang berasal dari Kampung Pisang, Kupang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top