Bantu cari ibu kandung Nur Ain Mardiah

Bantu cari ibu kandung Nur Ain Mardiah

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Seorang wanita buntu apabila gagal mengesan ibu kandung kanak-kanak perempuan yang dijaganya sejak lahir untuk menyelesaikan urusan dokumentasi.

Ruzita Mohd Yasin, 54, berkata, Nur Ain Mardiah Abdullah, 7, diserahkan kepadanya oleh bekas kakak iparnya dikenali Kamariah yang juga warga Thailand pada usia kanak-kanak itu 20 hari.

“Keadaan menjadi lebih sukar apabila anak saya tiada sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan dan lebih menyedihkan, seiring peningkatan usia, dia sukar mendaftar masuk sekolah.

“Saya bimbang akan masa depannya selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Ruzita berkata, dia sudah berusaha mengesan ibu kandung Nur Ain Mardiah, namun sehingga kini gagal dikesan.

“Saya kasihan nasib Nur Ain Mardiah disebabkan tiada pengenalan diri, kehidupannya berdepan kesulitan. Saya mohon orang ramai yang mengenali ibu kandung Nur Ain Mardiah untuk bantu kami,” katanya.

Menurutnya, ia juga untuk memudahkannya meneruskan urusan pengambilan anak angkat secara sah seperti diperlukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ruzita di talian 013-9071122.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top