harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi membendung kegiatan judi dalam talian yang kebanyakannya menyasarkan individu berpendapatan rendah (B40) terutama golongan muda.
Pengerusi, Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (PKASM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, beliau percaya faktor permintaan yang tinggi mendorong kegiatan haram itu kini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurutnya, usaha membanteras aktiviti tidak berfaedah ini memerlukan usaha daripada semua pihak menggembleng tenaga dan tidak boleh memberi ruang langsung kepada sindiket ini untuk bernafas.
“Apabila kita memandang daripada pelbagai aspek, kita lihat siapa pelanggan pusat perjudian (dalam talian) ini? Kalau tiada permintaan ia juga satu perniagaan yang merugikan
“Lebih parah, kita lihat kebanyakan pemain judi dalam talian ini merupakan golongan muda terutama dalam kalangan kaum Melayu terjebak dalam trend yang tidak sihat sehingga menjadi satu perkara yang serius.
“Malah kebanyakan pusat judi dalam talian ini merupakan pusat perjudian kelas bawahan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pihak kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya perlu memainkan lebih besar bagi memantau aktiviti haram di premis-premis perniagaan bawah seliaan mereka.
Katanya, kaedah pemantauan yang holistik perlu difikirkan bagi membanteras aktiviti perjudian daripada berselindung di sebalik premis berlesen seperti kedai snuker yang menjadi tumpuan golongan belia khususnya.
Beliau berkata, pemantauan ke atas premis terbabit penting kerana ia sering digunakan pihak sindiket judi dalam talian sebagai lokasi menjual kredit permainan.
Menurutnya, pihaknya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana faham terdapat kekangan yang mungkin dihadapi agensi pihak berkuasa terbabit dalam menjalankan tugas.
“Kita tahu setiap perniagaan perlu berdaftar dengan agensi berkaitan jadi saya minta agensi berkenaan terutama PBT mengambil sikap yang lebih agresif berhubung isu ini.
“Bagi saya tidak menjadi masalah sekiranya golongan belia bermain snuker kerana ia adalah sukan yang boleh digelarkan bertaraf tinggi.
“Namun, ada kedai-kedai berkenaan termasuk premis snuker yang dijadikan kedai judi dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd