Bantahan tak halang 85,000 tiket Bruno Mars habis dijual

Bantahan tak halang 85,000 tiket Bruno Mars habis dijual

KUALA LUMPUR – Tiket konsert penyanyi antarabangsa Bruno Mars Live in Kuala Lumpur sudah habis dijual dalam tempoh yang singkat walaupun menerima bantahan rakyat Malaysia kerana dikatakan pro-Israel,

Berita itu diumumkan penganjur, Live Nation Malaysia menerusi sebuah hantaran dalam media sosial.

“Tiket kami secara rasminya sudah terjual sepenuhnya. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bagi anda semua untuk konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur,” tulis penganjur.

Pelantun lagu Just The Way You Are itu akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang memuatkan kapasiti sehingga 85,000 pengunjung pada 17 September ini.

Terdahulu, konsert Bruno Mars berdepan kontroversi apabila pemenang 15 trofi Grammy itu dikatakan merupakan penyokong pro-Israel.

Dakwaan itu timbul setelah tular sebuah keratan akhbar memetik kenyataan dikeluarkan penyanyi itu menyatakan rasa cintanya terhadap Israel semasa persembahannya di Tel Aviv, tahun lalu.

Sejak minggu lalu, terdapat gerakan di media sosial mengajak untuk memboikot konsert artis itu di Malaysia dengan tanda pagar ‘Say No to Bruno’.

Selain itu, konsert itu juga diadakan sehari selepas sambutan Maulidur Rasul. – MalaysiaGazette