kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), menawarkan bantuan khas banjir kepada pelanggannya yang terjejas ekoran situasi banjir buruk yang melanda Sabah dan Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, tawaran itu merangkumi moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan.
Katanya, ia juga termasuk penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan terjejas akibat banjir yang melanda Malaysia Timur.
“Kami amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan Bank Muamalat termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terbabit.
“Sebagai institusi perbankan Islam penuh yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan Service Request Form (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel bantuanbanjir@muamalat.com.my.
Menurutnya, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.
Selain itu, bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-26005500.
© New Straits Times Press (M) Bhd