am@hmetro.com.my
Shah Alam: Satu lagi mayat ditemui dipercayai maut akibat renjatan elektrik di Kampung Padang Jawa, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 6.11 petang.
“Siasatan awal mendapati, mayat mangsa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja penghantaran ditemui di sebuah lot rumah satu tingkat di lokasi berkenaan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.
“Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mengesyaki mangsa mati terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit yang dalam keadaan rumah dinaiki air banjir.
“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bedah siasat yang dijadualkan 10 pagi esok.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fildza Bin Che Ibrahim di talian 016-9537372.
“Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan penggunaan barang-barang elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik,” katanya.
Kematian lelaki berkenaan adalah kes kedua maut dipercayai akibat renjatan elektrik.
Terdahulu, media melaporkan warga Sri Lanka bersama seekor anjing ditemukan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25.
© New Straits Times Press (M) Bhd