Banjir: Peti sejuk 'tumbang', mesin fotostat tenggelam timbul dalam air

Banjir: Peti sejuk 'tumbang', mesin fotostat tenggelam timbul dalam air

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang peniaga sekali lagi berdepan ujian, apabila kedai runcit miliknya dilanda banjir dan air naik hingga paras lutut dalam kejadian di Kampung Padang Jawa, di sini, semalam.

Nasirah Mohd Yaacob, 47, berkata kedainya pernah dilanda banjir pada Disember 2021, tahun ini sekali lagi dia berdepan kejadian banjir yang mengakibatkan kerugian melebihi RM20,000.

Menurutnya, dia terpaksa menanggung kerugian apabila peti minuman, dua mesin fotostat, dua peti sejuk beku, pelbagai barang jualan musnah sekelip mata.

“Pada jam 7 pagi semalam, suami ke kedai dan segera matikan bekalan elektrik… ketika itu paras air di dalam kedai semakin naik hingga paras lutut.

“Dia pergi seorang diri dan pulang ke rumah sebelum kami sekali lagi pergi pada jam 5 petang.

“Apabila kami sampai, kami terkejut melihat peti sejuk minuman sudah tumbang dan pintu kacanya pecah… mesin fotostat tenggelam timbul dalam air. Dua peti sejuk beku pun sama rosak.

“Aiskrim semua cair terpaksa buang. Ada makanan sejuk beku belum rosak bagi kepada penduduk.

“Anggaran kasar kerugian lebih RM20,000 untuk semua peti dan mesin fotostat, itu saya belum kira kerugian barang-barang jualan,” katanya yang meneruskan perniagaan yang diusahakan ayahnya sejak 30 tahun lalu.

Nasirah yang ditemui ketika dia bersama keluarga membersihkan kedai berkata dua mesin fotostat itu dibelinya selepas yang lama rosak dalam kejadian banjir sebelum ini.

Tambahnya, sebelum ini kejadian banjir berlaku berikutan longkang tersumbat dan selepas 2021 ia diselenggara semula dan tiada banjir sehingga kejadian terbaharu ini.

Nasirah antara mangsa banjir yang melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman dan premis perniagaan masing-masing di Kampung Padang Jawa.

Selain di Padang Jawa, penduduk di kawasan Meru, Sri Muda, Kampung Bukit Lancong turut melakukan kerja pembersihan termasuk menjemur perabot serta membuang peralatan rumah yang rosak akibat banjir.

Tinjauan juga mendapati, cuaca baik dan cerah banjir tiada air bergenang atau banjir di lokasi berkenaan hanya lopak kecil sisa banjir semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top