Beaufort: Penduduk di daerah ini berdepan kesukaran mencari barangan keperluan khususnya makanan apabila Pekan Beaufort yang menjadi pusat aktiviti ekonomi serta kehidupan mereka dilanda banjir sejak Jumaat lalu.
Banjir berkenaan mengakibatkan jalan raya kini hanya boleh dilalui kenderaan berat dan perkhidmatan kereta api terputus.
Tinjauan Bernama mendapati penduduk sukar memperoleh barangan keperluan harian kerana semua kedai ditutup malah ada kedai yang tenggelam sehingga paras papan dada selain terpaksa menggunakan bot untuk ke pekan kerana paras air amat tinggi.
Malah petugas Bernama yang membuat liputan menggunakan pacuan empat roda terpaksa meletakkan kenderaan di pinggir pekan yang terletak bersebelahan Sungai Padas itu, sebelum berjalan kaki mengharungi bah yang mencecah pinggang dan kemudiannya menaiki bot.
Seorang guru Florance Jerome, 44, berkata, beliau bersama kakitangan Sekolah Kebangsaan St John serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu sedang berusaha mendapatkan bekalan makanan serta keperluan kepada mereka yang terjejas.
“Pengawal keselamatan di sekolah juga terputus bekalan makanan sejak Jumaat lepas kerana banjir belum surut, begitu juga penduduk sekitar. Daripada pagi tadi kami cuba untuk dapatkan bekalan tetapi agak sukar terutama mahu lepasi banjir di pekan ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah ada membantu namun diharapkan lebih ramai dapat tampil terutama dalam menyediakan bot untuk pemindahan dan penyaluran bekalan makanan.
Setakat 4 petang ini, seramai 4,159 orang daripada 1,362 keluarga berlindung di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sabah termasuk 1,339 orang daripada 432 keluarga di empat PPS di Beaufort.
Kontraktor binaan Awang Razali Awang Damit, 52, berkata beberapa bekalan harian seperti beras masih boleh didapati di kedai runcit tertentu di pinggir bandar namun dalam kuantiti yang amat sedikit dan barangan permintaan tinggi seperti gula dan minyak masak telah kehabisan.
“Kedai di pekan akan ambil masa lama untuk pulih walaupun banjir sudah surut nanti, kerana habis tenggelam…jadi penduduk terpaksa cari alternatif lain seperti ke pekan lain tetapi itu agak jauh,” katanya.
Pekan Beaufort terletak 97 kilometer (km) arah selatan dari Kota Kinabalu dan pekan terdekat seperti Kuala Penyu sejauh 40 km, Papar (54 km) serta Menumbok (63 km) namun jalan terjejas di kawasan sekitar antaranya di Membakut menyukarkan pergerakan penduduk.
Suri rumah Normah Sulaiman, 58, berkata kereta api merupakan penghubung penting antara kawasan luar bandar dengan pedalaman serta ke bandar besar seperti Kota Kinabalu, justeru penduduk menghadapi kesukaran apabila perkhidmatan itu terjejas.
“Ramai bergantung kepada kereta api untuk ke Kota Kinabalu sama ada untuk bekerja atau melawat saudara-mara. Ia pilihan paling jimat dan selamat, terutama untuk warga emas seperti saya yang tidak mampu memandu jauh,” katanya yang berharap perkhidmatan itu segera pulih.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Keretapi Negeri Sabah ketika dihubungi Bernama berkata landasan menghubungkan Stesen Beaufort dan Stesen Membakut masih tidak dapat digunakan, justeru perkhidmatan keretapi hanya disediakan dari Stesen Sembulan, Kota Kinabalu ke Stesen Bongawan pada masa ini.
Beliau berkata landasan itu terjejas sejak Sabtu lepas dan pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.
“Benar, Stesen Beaufort yang terletak di Pekan Beaufort itu turut terjejas akibat banjir, landasan juga ditenggelami banjir di kawasan itu. Kita harap banjir akan surut secepat mungkin bagi kita ambil langkah segera pulihkan keretapi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd