Banjir: PBT diminta bantu Nadma kumpul maklumat kerugian premis, kediaman

Banjir: PBT diminta bantu Nadma kumpul maklumat kerugian premis, kediaman

Kota Bharu: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengumpul maklumat kerugian yang dialami premis bangunan atau kediaman akibat banjir.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat ini kementerian belum memperoleh statistik kerugian dan masih mengumpul maklumat berkaitan.

“PBT diarahkan melihat ruang (bentuk) yang boleh kita bantu melalui KPKT, dan kita turut memberikan perhatian terhadap mangsa banjir.

“Pasukan kita bersiap sedia lebih awal. Kesan masuk air ke premis atau kediaman adalah perkara biasa, cuma apa-apa kerosakan itu perlu ada rekod yang sahih untuk dinilai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Turun Padang Operasi Monsun Timur Laut Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, Aiman Athirah turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada, termasuk di Kuala Krai, yang dijangka mengalami banjir bermula hari ini hingga Jumaat.

“Orang ramai perlu peka terhadap keadaan cuaca semasa dan berpindah lebih awal jika perlu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top