Kuala Lumpur: Situasi banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kemaman ditutup pada 2.30 petang tadi, manakala jumlah mangsa banjir di Perak, Pahang dan Johor tidak banyak berubah setakat petang ini.
Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan sedikit berkurangan kepada 186 orang daripada 57 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas di daerah Manjung, berbanding 220 orang pada pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa PPS SK Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah, yang menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga sebelum ini, telah ditutup sepenuhnya pada pukul 3 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini diramal mengalami ribut petir atau hujan lebat sehingga 6 petang, melibatkan daerah Kinta, Manjung, Batang Padang, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim.
Sementara itu, paras air Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak (RHN) dan Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap amaran.
Di PAHANG, jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 58 orang yang ditempatkan di empat PPS petang ini berbanding 48 orang pada pagi tadi melibatkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 47 orang berada di tiga PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh, Balai Raya Kampung Seberang Guai dan Masjid Kampung manakala mangsa lagi berada di Balai Raya Kampung Pertanian, Maran.
Jumlah mangsa banjir di Segamat, Johorpula kekal 85 orang daripada 26 keluarga sehingga pukul 4 petang, sama seperti pagi tadi.
Pengerusi JBPN Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata 85 mangsa yang terjejas ditempatkan di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak dengan 40 mangsa daripada 12 keluarga, Dewan Komuniti Kampung Tasek dengan 45 mangsa daripada 14 keluarga
Pada masa yang sama, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, mencatat bacaan di paras amaran dengan 8.80 meter (m) melebihi paras normal7.30m.
© New Straits Times Press (M) Bhd