Banjir di Sabah, Sarawak beransur pulih

Banjir di Sabah, Sarawak beransur pulih

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tindakan waspada masih perlu diambil.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh memulakan usaha untuk menyusun atur gerak bagi kerja pasca banjir.

Katanya, ini termasuk usaha pembaikan yang membabitkan koordinasi dan tindakan pelbagai agensi kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan, terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas.

“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir berkenaan tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, dalam kemas kini setakat tengah hari ini, sebahagian besar daerah terjejas di Sarawak sudah menunjukkan angka penurunan mangsa banjirnya, kecuali di daerah Beluru, di mana berlaku peningkatan bagi kemasukan mangsa terjejas ke PPS.

“Setakat laporan yang dikeluarkan pada jam 12 tengah hari ini, hanya terdapat 1,970 keluarga membabitkan 6,269 mangsa yang masih berlindung di 28 PPS berbanding 9,296 mangsa membabitkan 2,742 keluarga pada minggu lalu.

“Di bahagian Bintulu, mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat PPS. Sementara di Sabah, terdapat empat daerah masih dilanda banjir setakat tengah hari ini, membabitkan 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam PPS,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat satu PPS dibuka pagi ini bagi menempatkan 160 mangsa dari 53 buah keluarga di daerah Membakut, berbanding hanya tiga daerah iaitu Beaufort, Kinabatangan dan Tambunan setakat semalam.

“Biarpun situasi kelihatan sudah reda, saya ingin mengingatkan semua pihak kemungkinan berlakunya luruan yang membawa hujan lebat masih ada, memandangkan Monsun Timur Laut dijangka akan tamat pada Mac.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 11.45 pagi ini turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang yang dijangka sehingga 3 petang ini. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top