am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Situasi banjir di negeri ini semakin memburuk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 355 orang daripada 105 keluarga setakat petang ini, membabitkan dua daerah utama, Kota Marudu dan Beaufort.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, jumlah mangsa dijangka terus bertambah susulan hujan berterusan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Statistik dikeluarkan APM Sabah merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 258 orang daripada 76 keluarga di Kota Marudu setakat 5 petang ini yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah Beaufort pula menunjukkan bilangan penduduk terjejas banjir seramai 97 orang membabitkan 29 keluarga yang kini ditempatkan di satu PPS.
APM Sabah menasihatkan orang awam, khususnya yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah, supaya berwaspada dan peka dengan situasi semasa di daerah masing-masing.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd