am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Banjir di Kulai pulih sepenuhnya selepas 619 mangsa terakhir daripada 208 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ini bermakna, dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang beroperasi di daerah itu ditutup secara rasminya menjadikan tinggal 44 sahaja PPS yang masih aktif di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tinggal lima daerah di negeri ini yang masih terjejas banjir setakat jam 8 malam, iaitu Johor Bahru, Kluang, Pontian, Batu Pahat dan Kota Tinggi.
Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan iaitu daripada 8,774 orang membabitkan 2,727 keluarga pada petang tadi, menjadi 6,992 orang membabitkan 2,161 keluarga pada jam 8 malam ini.
“Johor Bahru menunjukkan pengurangan jumlah mangsa banjir daripada 4,465 orang (1,472 keluarga) kepada 3,321 orang (1,128 keluarga) dengan 12 PPS masih aktif.
“Kluang juga merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan walaupun sedikit iaitu daripada 1,793 orang (492 keluarga) kepada 1,741 orang (477 keluarga) yang kini ditempatkan di 12 PPS di daerah itu.
“Di Pontian, daripada 1,548 orang (433 keluarga) berkurang kepada 1,482 orang (424 keluarga) di 16 PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Batu Pahat sahaja yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir dengan terkini adalah seramai 340 orang (100 keluarga) berbanding 241 orang (92 keluarga) di dua PPS yang diaktifkan.
Katanya, Kota Tinggi masih kekal dengan jumlah mangsa banjir 108 orang (32 keluarga) di dua PPS yang aktif.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Muar dan Batu Pahat dijangka sehingga 9 malam ini, manakala tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.
Pada masa sama, hanya Sungai Endau yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat ini.
Setakat jam 8 malam tadi, hanya daerah Tangkak sahaja yang dilaporkan hujan, manakala Muar, Mersing dan Kota Tinggi dilaporkan mendung, serta enam daerah lain di negeri ini dilaporkan cerah.
Tiga jalan masing-masing dua di Kota Tinggi dan satu di Segamat masih dilaporkan terputus hubungan.
Jalan Lukut Cina di Taman Aman, Kota Tinggi ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat arus deras dengan Jalan Johor Bahru – Endau dekat LGM atau Bukit Samsu menjadi laluan alternatif.
Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi juga ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana arus deras dan laluan alternatif adalah di Jalan Lok Heng atau Jalan Mawai atau Sungai Mas.
Jalan Jabi, Bukit Tempurung di Segamat pula ditutup untuk semua jenis kenderaan, namun tiada laluan alternatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd