am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Situasi banjir di Johor terus memburuk apabila menunjukkan penambahan jumlah mangsa yang kini melebihi 13,000 orang setakat pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat 8 pagi ini, mangsa banjir meningkat menjadi 13,089 orang terdiri daripada 3,749 keluarga, berbanding 12,686 orang daripada 3,709 keluarga, malam tadi.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, semua mangsa banjir di enam daerah terjejas di negeri ini ditempatkan di 95 PPS.
“Johor Bahru terus menunjukkan peningkatan mangsa banjir iaitu daripada 5,047 orang (1,505 keluarga) pada malam tadi, kepada 5,402 orang (1,532 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat pagi ini.
“Kluang pula mencatatkan penurunan mangsa banjir daripada 2,736 orang (788 keluarga) kepada 2,458 orang (708 keluarga) yang kini ditempatkan di 22 PPS di daerah itu.
“Jumlah mangsa banjir di Pontian juga sedikit berkurang daripada 1,873 orang (512 keluarga) pada malam tadi, menjadi 1,782 orang (488 keluarga) di 21 PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Azmi, Kota Tinggi pula menunjukkan sedikit peningkatan daripada 1,671 orang (485 keluarga) kepada 1,690 orang (491 keluarga) pagi ini, yang mana 15 PPS di daerah itu masih aktif.
Katanya, jumlah mangsa banjir di Kulai kembali meningkat daripada 1,276 orang (394 keluarga) pada malam tadi, menjadi 1,531 orang (460 keluarga) yang masih di lapan PPS.
“Batu Pahat yang baru sahaja terjejas dalam banjir kali ini turut menunjukkan penambahan mangsa banjir iaitu daripada 97 orang terdiri daripada 26 keluarga menjadi 226 mangsa (70 keluarga) dengan satu lagi PPS diaktifkan,” jelasnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat dan Kluang pagi ini, namun tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau dan Sungai Pulai sahaja yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Setakat 8 pagi tadi, semua daerah di negeri ini dilaporkan hujan.
© New Straits Times Press (M) Bhd