nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, setakat ini 2,000 calon SPM dikenal pasti terjejas banjir di beberapa negeri termasuk Kelantan.
Katanya, kebenaran menduduki di mana-mana pusat itu antara pendekatan yang diambil bagi memastikan kesemua calon SPM dapat menduduki peperiksaan yang bermula Isnin ini dengan baik.
“Kita akan pastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan berkenaan termasuk negeri yang dilanda banjir.
“Setakat ini segala persiapan menjelang SPM berjalan lancar termasuk di Kelantan, sebanyak 163 sekolah yang terbabit banjir.
“Bagi calon yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan alternatif supaya tiada calon yang tercicir malah, semua pusat peperiksaan sudah dimaklumkan dan bersedia menerima calon daripada luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Kohd Zamri Abdul Aziz.
Pada masa sama, Fadhlina turut memaklumkan, pihaknya juga menyediakan khidmat bantuan psikososial bagi calon SPM yang mengalami trauma akibat banjir.
“Kita ada bantuan psikososial dan ini sudah diatur bantu calon SPM yang mengalami trauma akibat banjir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd