Bandar 'hantu' Hama

Bandar 'hantu' Hama

anbia@hmetro.com.my

Aleppo: Melihat sendiri kebinasaan besar yang berlaku di utara bandar Hama, Syria penulis merumuskan ia tidak jauh bezanya berbanding kemusnahan dialami bumi Gaza ketika ini.

Segalanya hancur punah menjadi puing-puing longgokan batu. Menyelusuri sepanjang laluan lebuh raya antara bandar Aleppo di utara Syria menuju ke Hama sejauh 140 kilometer, mata penulis tertumpu ribuan bangunan, kilang, rumah dan pangsapuri ditinggal tanpa penghuni.

Keadaannya tidak ubah seperti bandar atau perkampungan ‘hantu’. Sunyi dan menakutkan.

Rata-rata binaanya ranap atau runtuh sebahagian. Kerosakan jelas kelihatan apabila binaan ini pernah menjadi sasaran tembakan misil kereta kebal selain bom dijatuhkan dari pesawat udara milik kerajaan terdahulu.

Tinggalan lubang besar akibat tembakan meriam kereta kebal selain kesan tembakan rifel AK-47 masih jelas kelihatan pada dinding kediaman ditinggalkan.

Tiada satupun kediaman atau bangunan terselamat terutama di bandar Ma’arat al Nu’man, Deir Sharqi, Maar Shoreen hinggalah ke Khan Shaykhun di sini.

Begitu dahsyatnya perang berlaku di wilayah ini bermula pada tahun 2012 apabila tentera bekas Presiden Syria, Bashar Al-Assad menggunakan segala kekuatan bagi menghapuskan penentangan tentera pemberontak Hay’at Tahrir al-Sham (HTS).

Tanpa memikirkan keselamatan penduduk, tembakan kereta kebal, mortar dan bom disasarkan ke kediaman orang awam yang disyaki menjadi lokasi persembunyian HTS. Difahamkan pernah berlaku tragedi 518 penduduk di Idlib dibunuh kejam termasuk 128 kanak- kanak dalam serangan tentera pada Jun 2019.

Penulis mendapati kesan runtuhan kediaman akibat dibom turut mengenai sasaran masjid, sekolah dan ribuan kediaman petani serta peladang pokok zaitun di pedalaman.

Bekas penuntut Malaysia di Syria yang juga wakil Cinta Gaza Malaysia (CGM), Yaser Yusoff, 35, berkata, lokasi berkenaan menjadi medan pertempuran utama membabitkan tentera Presiden Bashar Al-Assad yang cuba menumpaskan tentangan tentera HTS sejak tahun 2012 lagi.

Menurutnya, tentera Bashar Al-Assad yang disokong tentera Rusia ketika itu mengubah kawasan berpenghuni padat ini menjadi padang jarak padang terkukur.

“Berjuta penduduk terpaksa melarikan diri atau menjadi pelarian dengan meninggalkan kediaman masing-masing.

Kawasan ini dikawal sepenuhnya oleh tentera Bashar Al-Assad yang mendirikan pos kawalan di setiap lokasi ditawan.

“Kawasan subur ini dianggap lokasi paling strategik menguasai utara Syiria. la antara punca pertempuran di kawasan ini berlanjutan untuk tempoh masa lama sehinggalah kerajaan Bashar Al-Assad ditumbangkan.

“Amat menyedihkan apabila makam Khalifah Umar Abdul Aziz terletak di perkampungan Deir Al-Sharqi, wilayah Idlib di sini, turut dimusnahkan tentera Bashaar,” katanya ketika membawa penulis menziarahi pusara itu semalam, bersama pasukan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top