Bakat kepimpinan Asif terselah, Jasmine Tay mahu ajar pendidikan jasmani

Bakat kepimpinan Asif terselah, Jasmine Tay mahu ajar pendidikan jasmani

PUTRAJAYA – Hasrat untuk melahirkan lebih ramai murid bukan sahaja menguasai bidang akademik dan kokurikulum bahkan memiliki daya kepimpinan, menjadi impian kepada penerima Anugerah Emas dalam Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke-14, Muhammad Asif Mohd Fahmi.

Muhammad Asif, 22, yang kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur sejak sebulan lalu berkata, dia berazam untuk mencungkil potensi diri anak muridnya agar seimbang antara jasmani, rohani dan emosi.

“Saya mahu melahirkan lebih ramai Asif, saya akan cuba melahirkan murid-murid yang bukan hanya fokus kepada akademik semata-mata, bahkan mempunyai kepelbagaian kemahiran dan bakat,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan Anugerah Khas Emas kepada Muhammad Asif Mohd Fahmi pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2024.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan sendiri Anugerah Emas kepada Muhammad Asif dalam Istiadat Konvokesyen IPG KPM Ke-14 Tahun 2024.

Muhammad Asif, merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik kepada pasangan Mohd Fahmi Yusof dan Che Jarah Mohammad dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada 31 Disember 2001.

Beliau pernah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Opsyen Pendidikan Jasmani pada 2020 serta berjaya menerima Anugerah Pengarah pada setiap semester di IPG Kolej Temenggong Ibrahim (IPGKTI) Johor Bharu.

Bakat kepimpinan yang menyerlah membolehkan beliau terpilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGKTI bagi Sesi 2022/2023 dan menjadi Top 7 Jawatankuasa YDP IPGM Sesi 2022/2023 serta dianugerahkan Tokoh Kepimpinan IPGKTI pada 2023.

Selain itu, beliau juga berjaya mewakili IPGKTI FC sepanjang lima tahun dan terpilih untuk mewakili Zon Selatan ke Kejohanan Sukan dan Permainan MSIPGM pada 2022, kemudian mewakili pasukan MSIPGM di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia Ke-9 (SIPMA 9) Tahun 2023.

Penerima Anugerah Khas Emas, Muhammad Asif Mohd Fahmi dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim bersama anugerah yang diterima pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2024.

Kemudiannya beliau telah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda KRS pada 2023 dan pernah terpilih menjadi panel penilai Pentauliahan Pangkat Koperal dan Sarjan KRS Daerah Johor Bahru.

Sikap prihatin dan berperikemanusian Asif terserlah apabila beliau sering terlibat dalam apa jua misi kesukarelawanan seperti Misi Kesukarelawanan di Pondok Pesantren Thafidz Yatim Dhuafa Al-Issyah, Indonesia serta menjalankan misi bantuan pasca banjir di Kota Tinggi dan Mersing, Johor.

Menurut Muhammad Asif, walaupun beliau agak sibuk dengan pembelajaran, latihan sukan, kepimpinan kampus dan aktiviti kesukarelawan sepanjang lima tahun pengajiannya, namun beliau menjadikan ia sebagai satu kebiasaan sebelum melangkah ke dunia perguruan.

“Kebiasaannya rakan-rakan saya akan pulang dan bercuti selama dua minggu, namun saya akan korbankan seminggu masa bersama keluarga untuk balik ke kampus dan menyelesaikan tugas-tugas saya di kampus.

“Sudah tentu tekanan menjadi kebiasaan yang saya hadapi, lebih-lebih lagi sewaktu pertama kali menggalas tugas sebagai YDP IPGKTI. Namun saya cakap dengan diri saya, kenapa saya bertanding dalam pilihan raya sedangkan saya tak mampu nak hadap benda ini.

“Saya jadikan perkara itu kebiasaan sebagai mindset saya adalah sewaktu di sekolah nanti, tugas guru bukanlah mengajar semata-mata. Guru harus terlibat dengan aktiviti kokurikulum, aktiviti sukan dan sebagainya,” katanya lagi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan Anugerah Khas Kokurikulum kepada Jasmine Tay Jing Xuan pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2024.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Kokurikulum, Jasmine Tay Jing Xuan pula berharap, beliau dapat mengajar dalam Kelas Pendidikan Jasmani berbanding subjek bahasa Inggeris selepas setahun ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lok Yu 6, Benut, Pontian Johor.

Jasmine, 23, berkata, beliau menyimpan impian untuk membuka Kelab Wushunya sendiri, seiring dengan minat dan pengiktirafan yang diterimanya sejak dibangku sekolah lagi dalam bidang seni membela diri itu.

“Saya ditempatkan di SJKC 6, Benut, tapi saya ajar subjek bahasa Inggeris, sedangkan saya dari Opsyen Pendidikan Jasmani. Saya harap tahun hadapan saya akan dapat mengajar di Kelas Pendidikan Jasmani.

“Lepas itu, saya mungkin akan berusaha untuk buka satu kelab wushu,” katanya.

Jasmine, cahaya mata keempat dari lima orang adik-beradik kepada pasangan Tay Ah Ho dan Lee Siew Guat, dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 4 September 2001.

Sewaktu di bangku sekolah, bakat Jasmine menyerlah bidang sukan dan unit beruniform hingga melayakkan beliau menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum pada setiap tahun serta Anugerah Insan Terbilang Negeri Sembilan sejak 2012.

Penerima Anugerah Khas Kokurikulum, Jasmine Tay Jing Xuan pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2024.

Beliau kemudian menyambung pengajian ke Kolej Matrikulasi Johor sebelum melanjutkan pengajiannya di IPGKTI, Johor Bharu.

Jasmine yang mula menjinakkan diri dalam dunia Wushu sejak umur tujuh tahun semakin menyerlah selepas mewakili Negeri Sembilan dalam kejohanan sukan Wushu pada 2012 dan Malaysia dalam Kejohanan Wushu peringkat antarabangsa kali pertama pada usia 13 tahun.

Jasmine memenangi satu pingat emas dan satu pingat perak dalam 1st Singapore World Wushu/ Kung Fu Championships, kemudian menyumbang satu pingat emas dan satu pingat perak dalam 1st Jeju Korea International Wushu Championship serta satu pingat emas dan dua pingat perak dalam Karnival Pelapis 2019 Kuala Lumpur mewakili IPGKTI.

Beliau pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang Harapan Wanita semasa Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Ke-2 IPGM Kampus Perempuan Melayu Melaka.

Pada 2023, beliau telah menyertai 9th World Kungfu Championships dan berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Selain itu, Jasmine merupakan pengadil Peringkat Negeri dan Kebangsaan berdaftar di bawah Wushu Federation of Malaysia dan menduduki tempat pertama dalam National Wushu Taolu Judges Examination Course 2022.

Beliau juga merupakan seorang pegawai sukan olahraga selepas lulus dalam Kursus Asas Kepegawaian Olahraga (KOM) pada 2021.

Demi minat mendalam dalam sukan Wushu, beliau telah menyertai Kursus Sains Sukan Tahap 1, Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) serta lulus Kursus Kejurulatihan Sukan Wushu (Taolu) Kebangsaan 2018 dan 2023.

Beliau kini memiliki sijil jurulatih sukan Wushu Tahap 2 dan merupakan seorang jurulatih Lesen C yang diiktirafkan oleh Akademik Kejurulatihan Kebangsaan, Institut Sukan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top