am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Tiga generasi pengusaha lemang dari Kampung Lepan Jenut, Manek Urai di sini, menjual juadah tradisional itu yang diwarisi secara turun-temurun sekali gus menjadi sumber pendapatan utama mereka untuk menyara keluarga.
Bainah Awang Long, 69, mendakwa dia perintis kepada peniaga lemang lain dari Kampung Lepan Jenut yang turut dikenali sebagai ‘Kampung Lemang’ untuk menjual makanan tradisional itu yang bukan sahaja menjelang Aidilfitri tetapi juga pada hari biasa.
“Saya sudah menjual lemang sejak lebih 30 tahun lalu dan kini turut diikuti oleh anak, menantu serta cucu-cucu yang menggunakan resipi warisan keluarga.
“Lemang kami tidak bermusim, kalau bukan hari raya pun kami jual juga lemang. Tidak pernah kami tutup kedai, setiap masa ada, bukan hari raya sahaja,” katanya ketika ditemui di ditemui di Kampung Lepan Jenut.
Ibu kepada empat anak dan nenek 20 cucu itu berkata, kos kenaikan barang pada ketika ini menyebabkan harga lemang yang dijual turut meningkat, namun permintaan terhadap lemang tetap ada terutamanya ketika menjelang Aidilfitri.
“Pada 10 tahun lalu, saya menjual lemang pada harga RM2 sebatang, namun kini lemang dijual dengan harga RM5 sebatang atau RM15 hingga RM20 bagi tiga batang lemang bergantung kepada saiz,” katanya.
Sementara itu, anak kepada Bainah iaitu Sariwati Yaacob, 48, berkata, pada hari biasa lemang yang terjual di gerainya adalah sekitar 30 hingga 40 batang sehari dan kebiasaannya tiga hari menjelang Syawal sudah tidak menang tangan untuk membakar lemang kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Pada ketika ini, saya masih belum menerima tempahan lemang daripada penduduk sekitar dan juga luar dari Kuala Krai, namun seminggu sebelum Aidilfitri ia dianggap sebagai lubuk rezeki kerana tempahan yang diterima boleh mencecah ribuan batang lemang.
“Pada hari biasa, sebanyak lima hingga 10 kilogram (kg) beras pulut yang digunakan untuk memproses lemang, namun beberapa hari sebelum Aidilfitri, saya perlu menggunakan sehingga 60 kg beras pulut dan 50 kg santan kerana permintaan meningkat daripada perantau dari seluruh destinasi.
“Lemang di Kampung Lepan Jenut amat dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Kelantan, malah ada juga dari luar terutamanya perantau yang melalui Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang,” katanya.
Menurutnya, sebagai persiapan awal, dia sudah mula membuat persiapan dengan membeli bekalan buluh lemang yang kini dijual 50 sen sebatang, namun tidak mustahil harga buluh ini akan naik sehingga RM1.
“Tiga bahan asas digunakan untuk menghasilkan lemang ialah beras pulut, santan dan garam, kemudiannya dicampur sehingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam buluh yang bersih dengan daun pisang digulung ke dalamnya dan perlu dibakar selama lima hingga enam jam.
“Bagaimanapun, sejak awal Januari lalu saya terpaksa menaikkan harga lemang yang sebelum ini dijual RM15 untuk tiga batang, namun kini terpaksa dinaikkan kepada RM20 disebabkan harga santan yang semakin meningkat,” katanya yang turut dibantu anak keduanya, Syarina Mazri, 25.
Menurutnya, pada tahun lalu dia mampu menjual sehingga 2,000 batang lemang setiap hari bermula dua hari sebelum Aidilfitri dan menjangkakan permintaan lemang pada tahun ini semakin rancak.
© New Straits Times Press (M) Bhd