“Baik sangat orangnya, mungkin keadaan memaksa dia” -Awek suspek kes bunuh

“Baik sangat orangnya, mungkin keadaan memaksa dia” -Awek suspek kes bunuh

Kes pembunuhan yang berlaku di Sungai Besar kelmarin pastinya menjadi perhatian ramai kerana masing-masing terkejut dengan kekejaman yang dilakukan oleh seorang remaja berusia 20 tahun apabila sanggup menamatkan riwayat seorang wanita yang sedang hamil.

Difahamkan, mangsa yang berusia 21 tahun telah ditikam, ditoreh perut dan dibakar sebanyak dua kali oleh teman lelakinya yang dipercayai mahu menutup kehamilan luar nikah wanita itu.

Ternyata, suspek juga mempunyai seorang lagi kekasih yang telah memuat naik penjelasan di TikTok dengan memaklumkan yang dia bukanlah tunang kepada lelaki itu.

“Salam semua, saya bukan tunang dia. Saya hanya girlfriend dia. Walau betul sekalipun dia bersalah, biarlah dia terima hukuman. Nak tak nak kita kena telan juga. Biarkanlah apa yang terjadi ni, jadikan pengajaran, ambil ikhtibar untuk semua perempuan di sana. Untuk A***n, terima kasih ya, aku dah maafkan semuanya,” tulis gadis terbabit.

Dia juga mengatakan yang tindakan suspek itu mungkin disebabkan keadaaan yang memaksa kerana disifatkan sebagai seorang yang sangat baik.

Susulan daripada itu, pengguna Twitter dikenali sebagai Joe Antifragile telah berkongsi semula tangkapan layar penjelasan gadis terbabit sehingga dihentam netizen yang lain.

Ternyata tindakan gadis terbabit menjelaskan statusnya kepada umum ‘memakan diri’ apabila dikecam netizen yang merasakan dia seakan tidak sedar yang teman lelakinya telah melakukan jenayah yang cukup kejam.

Terdahulu, seorang lelaki yang baru sahaja selesai melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Awam (IPTA) telah ditahan susulan penemuan mayat seorang wanita yang juga pelayan restoran di kebun kelapa sawit.

Menurut laporan, suspek  telah mengaku mengajak wanita terbabit keluar menaiki kereta milik keluarga sebelum memukul dan menikam perut mangsa bertujuan untuk mengeluarkan kandungan.

Selepas tindakan kejam terbabit, dia telah membakar mangsa menggunakan petrol untuk kali pertama dan datang semula ke lokasi kejadian pada awal pagi keesokan harinya untuk membakarnya buat kali kedua.

Sumber: Twitter Joe Antifragile