Bahaya kebencian di media sosial

Bahaya kebencian di media sosial

razis@mediaprima.com.my

Setiap kali timbul isu tertentu, media sosial menjadi medan untuk bertikam lidah dalam kalangan netizen yang berselisih pendapat.

Berselindung di sebalik skrin, tanpa rasa bersalah mereka meninggalkan komen jelik dan provokasi untuk menghangatkan lagi isu yang dilihat berpotensi menggugat kesejahteraan sosial dan keharmonian jika tidak dibendung daripada awal.

Ikuti wawancara Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) PROF MADYA DR MOHD KHAIRIE AHMAD bersama wartawan MUHAMAAD RAZIS ISMAIL bagi mengupas isu ini.

Bercakap mengenai komen yang boleh memberi kesan, sejauh mana tahap keseriusan isu ini?

Fenomena komen jelik dan provokasi dalam media sosial khususnya adalah sesuatu yang sangat membimbangkan.

Natijahnya jika dibiarkan berterusan dan berlarutan ragam kebencian lebih lagi yang terkait dengan 3R, sangat berpotensi menggugat kesejahteraan sosial masyarakat.

Memantau senario semasa, saya sifatkan situasi ini agak serius walaupun masih terkawal.

Namun, sebagai sebuah negara yang sedang membina semula ekonominya, hal ini tidak wajar dikesampingkan atau dilihat sebagai sesuatu yang kurang merisaukan.

Tindakan mempromosikan kebencian berupaya menularkan budaya hasutan yang berpotensi meretakkan keharmonian masyarakat majmuk.

Memang benar perlembagaan Malaysia menjamin hak kebebasan bersuara, namun hak itu masih tertakluk kepada segala had yang terangkum dalam undang-undang tertinggi negara itu.

Mengapakah individu ini sengaja meninggalkan komen yang tidak sepatutnya di media sosial sehingga menjadikan sesuatu itu menjadi lebih panas?

Sifat kesamaran diri pengguna pelantar dalam talian adalah antara faktor asas individu berani menyatakan hantaran tidak sepatutnya.

Kesamaran diri ini pastinya mengurangkan rasa kebertanggungjawaban terhadap perlakuan mereka.

Menurut sebuah laporan setakat awal Mac lalu, SKMM menyekat sekitar 10,000 akaun palsu dengan 88,831 kandungan sudah diturunkan dari pelantar laman sosial.

Peranan teknikal sistem media sosial seperti algoritma turut membantu menyuburkan budaya tidak sihat ini.

Algoritma akan belajar tingkah laku pengguna dan seterusnya mencadangkan kandungan berdasarkan tingkah laku itu.

Reaksi yang diterima oleh individu seperti suka, perkongsian, malah kenyataan menyokong daripada netizen turut mengukuhkan hantaran negatif berkenaan.

Bagaimanakah kesannya terhadap perpaduan?

Pastinya ia sangat berpotensi untuk menggalakkan tingkah laku keganasan terhadap kumpulan sasar tertentu.

Retorik kebencian secara dalam talian berupaya bertukar menjadi tindakan fizikal yang memudaratkan seperti jenayah kebencian mahupun keganasan massa.

Ia juga mampu menghakis kesepaduan sosial. Kata-kata kebencian menyumbang persekitaran yang menimbulkan ketakutan, hilang kepercayaan dan meruntuhkan perpaduan sosial.

Akibatnya perpecahan mudah berlaku yang menyukarkan lagi penyelesaian permasalahan hubungan komuniti yang berbeza.

Insiden ini bakal merancakkan lagi penularan salah dan kepalsuan maklumat.

Keadaan ini berupaya memberi impak di peringkat individu seperti memburukkan lagi kesihatan mental seseorang.

Apakah langkah sewajarnya yang diambil untuk mencegah masalah ini daripada terus berlarutan dalam kalangan masyarakat?

Ringkasnya, gejala perilaku jelik, kebencian dan hasutan perlu dibendung dengan tuntas walaupun tindakan itu tidak popular khususnya kepada pihak berkuasa dan pemerintah.

Tindakan paling asas, tetapi secara berterusan ialah dengan menggandakan program celik media digital (literasi digital).

Masyarakat di pelbagai peringkat perlu dididik-pupuk dengan amalan positif media digital dan pada masa sama dilatih kemahiran menilai kandungan serta langkah membasmi kandungan negatif.

Sebagai usaha menangkis kandungan jelik, masyarakat perlu diperhebat menghasilkan kandungan berunsur perpaduan, keharmonian dan toleransi.

Tindakan kedua ialah dengan mengukuhkan kerangka sistem dan undang-undang bagi menangani fenomena ini.

Pengenalan beberapa polisi dan perundangan seperti pelesenan pengendali media sosial adalah langkah yang tepat walaupun dipandang sinis oleh beberapa pihak.

Malah, langkah itu sudah terlebih dahulu diperkenalkan oleh pelbagai negara termasuk kuasa-kuasa besar dunia.

Tindakan penguatkuasaan adalah satu lagi langkah yang penting, tetapi mencabar.

Mereka yang bersalah wajar dikenakan tindakan seadilnya sebagai satu usaha mendidik masyarakat umum.

Apakah peranan untuk mencegah komen seumpama ini hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa sahaja?

Peranan pihak berkuasa dan pemerintah semata-mata sebenarnya tidak mencukupi dalam konteks permasalahan di pelantar digital ini.

Memandangkan antara punca berkembangnya permasalahan ini seperti saya katakan ia berkaitan persekitaran komuniti digital itu sendiri, maka usaha membendung juga perlu dipikul bersama oleh netizen.

Lebih utama ialah netizen perlu lebih bertanggungjawab ke atas kandungan yang dihasilkan.

Hentikan menghasilkan kandungan yang berunsur negatif seperti fitnah, hasutan, kebencian, membuli, mencaci dan sebagainya.

Kritikan tidak salah, tetapi perlu datang dengan tanggungjawab yakni mengemukakan cadangan atau penyelesaian.

Hasilkan kandungan yang bukan sahaja berfakta, tetapi beretika lagi membina.

Alihkan nada yang negatif kepada yang membina. Semak fakta dan kesahihan maklumat yang hendak dikongsi.

Semak kebenaran hantaran melalui pelantar semakan sedia ada seperti SEBENARNYA.MY atau MyCheck.My atau melalui engin-engin pencarian seperti Google Search.

Saya juga menyeru supaya netizen menjadi lebih proaktif dengan menegur atau segera melaporkan hantaran jelik dengan keharmonian dan perpaduan negara.

Kepada politikus, jadikan diri anda contoh pemimpin teladan dengan menghasilkan kandungan digital yang berpaksikan Rukun Negara.

Kegagalan ahli politik menjadi warga digital yang tidak berwatakkan seiring dengan Rukun Negara jelas akan menghakis keharmonian watan.

Pengendali pelantar digital juga perlu lebih proaktif dan peka akan nilai budaya tempatan dan mengawal selia kandungan di pelantar mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top