Bahaya jiwa cinta dunia

Bahaya jiwa cinta dunia

Foto hiasan.

Menurut asy-syahid Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, bahaya terbesar dan menakutkan bagi kehidupan kaum muslimin adalah jiwa mereka sendiri. Bahkan bahaya tersebut melangkaui bencana  berhadapan musuh negara, menghancurkan kekuatan serta mampu mencerai-beraikan kesatuan. Sekiranya kekacauan jiwa ini tidak segera ditangani, maka kekuatan kaum muslimin akan melemah dan ranap suatu ketika nanti.

Advertisement

Dr Muhammad Said membahagikan amalan individu kepada dua bahagian; iaitu amalan zahir seperti bersolat, bersedekah atau berpuasa; manakala amalan batin pula adalah seperti ikhlas, telus, berani dan  sabar. Perbuatan zahir nampak pada penglihatan manusia, tetapi amal batin tergantung kepada niat atau kehendak hati seseorang.

Justeru, segala perbuatan itu dikira sebagai amal soleh apabila seseorang itu memenuhi keselarasan tuntutan ibadah antara  amal zahir dan batin. Sekiranya ia hanya memenuhi perbuatan baik pada sudut pandangan lahiriah sahaja tanpa bersekali dengan amal batin seperti ikhlas, maka kerjanya menjadi sia-sia.

Sebagai contoh, jika seorang amilin itu berkerja pada zahirnya nampak bersungguh-sungguh, tetapi pada benak hatinya menyimpan hasrat keduniaan yang membuak-buak, maka hasil kerjanya itu tidak mendatangkan manfaat di akhirat. Meskipun ada kalanya Allah mengizinkan niatnya itu tercapai dan ia mendapat kedudukan tinggi pada mata manusia, namun pada sisi Allah hasilnya itu tiada faedah, dan amalnya itu tidak dikira satu amal soleh.

Sesungguhnya amal batin adalah pelengkap kepada amal soleh, dan ianya merupakan intipati jiwa seseorang. Dengan perkataan lain, titik hidup jiwa insan itu ada pada hatinya.

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

Oleh itu, bertitik tolak daripada hati inilah bermula perjalanan bagi seorang insan, sama ada ia menjadi seorang amilin kental, ikhlas dan sabar berjuang pada jalan Allah; atau ia hanya bersandiwara memenuhi serakah dunia.  Ini kerana hati adalah tonggak nilai jiwa seseorang, dan penggerak kepada tubuhnya yang tegap.

Mengikut almarhum Dr Muhammad Said lagi, dunia itu meliputi seluruh syahwah yang dicenderungi oleh nafsu seperti pangkat, kedudukan, dan juga kebesaran, selain kecenderungan kepada pelbagai rupa nikmat yang dapat membunuh hati dan menghancurkan jiwa.

Hal inilah yang dibimbangi oleh Rasulullah s.a.w sebagai mana hadis riwayat. Dari ‘Amr bin ‘Auf Al-Anshari r.a., bahwasanya Rasulullah s.a.w mengutus Abu ‘Ubaidah Ibnul Jarrah r.a. ke negeri Bahrain untuk mengambil jizyah dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi -pent). Kemudiannya dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Anshar mendengar berita kepulangan Abu ‘Ubaidah lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan solat Subuh bersama Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w selesai solat beliau pun berpaling menghadap ke arah mereka. Jelas kepada Rasulullah mereka sangat inginkan harta yang dibawa Abu ‘Ubaidah. Maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum ketika melihat mereka. Kemudian Baginda s.a.w bersabda, “Aku menjangka kamu telah mendengar bahawa Abu ‘Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain”. Maka mereka menjawab, “Benar, Rasulullah”. Lalu Baginda s.a.w bersabda, “Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kamu. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kamu sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Lalu kamupun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana telah menghancurkan mereka”. (Sahih Al-Bukhari hadis no. 3158 dan Sahih Muslim hadis no. 2961)

Sebagai renungan, pengarang kitab Batin al-Ithm: al-Khatar al-Akbar fi Hayat al-Muslimin, al-marhum Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti telah memberikan peringatan yang jelas tentang bahaya dosa jiwa yang mesti dikekang oleh kaum muslimin, khasnya para amilin haraki. Amilin yang ikhlas akan sentiasa bermujahadah, serta menilik segala amal perbuatannya supaya perlakuan lahiriahnya itu selaras dengan tuntutan amal batin berpaksikan aqidah Islamiyah. Hal demikian bagi memastikan bahawa jiwa amilin itu kekal bersih dan tidak dipengaruhi oleh dunia yang menghambat.

Oleh DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
AJK Lajnah Tarbiyah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/1/2024